Teknik Pengurusan Masa

Pembuka kata

Hari?ini, saya ingin ceritakan tentang teknik pengurusan masa. Saya percaya anda sudah tahu, pengurusan masa adalah satu perkara yang sangat penting buat pelajar. Ini kerana, pelajar selalunya sibuk dengan aktiviti-aktiviti sekolah dan juga aktiviti-aktiviti luar sekolah.

Pelajar juga perlu kuasai banyak subjek dalam masa yang agak singkat. Jadi, tanpa pengurusan masa yang betul, pelajar tidak akan mampu menyiapkan semua tugasan mereka dan tidak mampu belajar sesuatu dengan baik dalam masa yang telah ditetapkan.

Persoalannya, adakah anda tahu apa itu pengurusan masa? Setiap kali saya menjalankan program-program motivasi dan teknik belajar, saya selalu ceritakan tentang asas pengurusan masa. Apabila saya mahu mula bercerita tentang pengurusan masa pula, para pelajar selalu sangka yang saya akan ceritakan bagaimana caranya untuk membuat jadual. Adakah itu yang anda fikirkan setiap kali anda dengar perkataan pengurusan masa? Jadual?

Benar, membuat jadual harian, mingguan dan bulanan adalah sebahagian dalam teknik pengurusan masa. Namun, jadual bukanlah perkara utama dalam pengurusan masa. Saya mahu tanya anda, pernahkah anda membuat jadual sebelum ini? Saya percaya anda pernah membuat jadual anda sendiri. Namun soalan saya lagi, adakah anda benar-benar mengikut jadual anda itu sepenuhnya?

Jarang saya mendengar pelajar berkata bahawa mereka berjaya mengikuti sepenuhnya jadual yang mereka buat. Mengapa? Sukar kata mereka untuk melakukan aktiviti mengikut jadual. Selalunya pasti ada perubahan yang tidak dijangka. Kadangkala, apabila sampai waktu mengulangkaji, pelajar rasa tidak ada semangat untuk belajar. Jadi jadual itu tidak diikuti.

Sebenarnya, jika anda ada jadual harian, tidak semestinya jadual itu diikuti sepenuhnya. Jadual harian sebenarnya hanyalah bertindak sebagai panduan tentang apa yang patut dilakukan. Anda akan lebih fokus tentang apa yang patut anda lakukan jika anda ada jadual anda sendiri.

Baiklah, sebelum saya meneruskan topik pengurusan masa ini, saya mahu tahu dahulu, apakah masalah-masalah yang anda hadapi berkenaan dengan pengurusan masa?

Adakah anda rasa masa tidak cukup untuk anda? Adakah anda rasa kerja anda terlalu banyak hingga mustahil untuk menyiapkan semua kerja tersebut? Atau, masalah anda ialah anda ada terlalu banyak masa hingga anda tidak tahu apa yang patut anda lakukan dalam masa yang terluang itu? J Senaraikan semua masalah tersebut.

Lihat pada senarai anda. Pada pendapat anda, adakah masalah itu semua disebabkan masa 24 jam sehari itu tidak mencukupi atau andalah sebenarnya yang tidak menggunakan masa yang ada sebaiknya? Kebiasaannya, anda akan dapat lihat bahawa masalah itu semua muncul akibat sikap anda sendiri. Melalui senarai itu, anda patut sedar bahawa masalah pengurusan masa boleh diselesaikan.

Sebenarnya, setelah anda senaraikan semua masalah anda berkenaan pengurusan masa, anda akan lebih mudah untuk belajar teknik pengurusan masa. Ini adalah kerana melalui masalah itu, anda tahu apa yang patut anda perbaiki. Anda boleh lihat apa jenis masalah berkenaan masa yang perlu anda selesaikan.

Terbitan 1

Semalam?saya telah ceritakan pengenalan kepada tekni pengurusan masa. Saya telah minta anda senaraikan semua masalah anda tentang pengurusan masa. Sudahkah anda senaraikan semua masalah anda tentang pengurusan masa? Jika sudah, bagus. Kita boleh teruskan belajar teknik ini.

Hari ini saya mahu ceritakan sedikit tentang pengurusan masa seorang pelajar cemerlang. Semasa saya di sekolah dulu, saya ada beberapa orang kawan yang sangat cemerlang dalam prestasi akademik mereka. Mereka selalu mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan. Bukan itu sahaja, mereka ini juga sangat aktif dalam aktiviti sukan dengan mewakili sekolah dalam beberapa aktiviti sukan. Tidak cukup dengan itu, mereka juga aktif dalam kegiatan persatuan dan kelab. Mereka kerap terlibat dalam aktiviti persatuan seperti menganjurkan lawatan, pesta sekolah dan aktiviti-aktiviti kecil yang lain. Lebih menghairankan lagi, mereka ini selalunya ada memegang jawatan penting di sekolah seperti pengawas, ketua kelas atau pengawas perpustakaan.

Persoalannya, bagaimanakah kawan-kawan saya ini boleh menguruskan masa mereka hingga dapat melakukan banyak perkara itu? Bilakah masa mereka mahu belajar jika asyik sibuk dengan aktiviti sukan, persatuan dan jawatan mereka di sekolah? Bagaimana mereka boleh belajar dengan baik walaupun masa mereka cuma sedikit sahaja untuk belajar?

Inilah yang perlu anda juga fikirkan. Ada kemungkinan, anda tidak begitu sibuk di sekolah tetapi anda rasa tidak cukup masa untuk melakukan semua kerja sekolah bukan?

Satu teknik utama yang saya mahu kongsikan hari ini berkenaan masa yang digunakan oleh kawan-kawan saya tadi ialah teknik ?fokus?. Teknik fokus bermaksud, setiap kali anda lakukan sesuatu, anda perlu benar-benar fokus kepada apa yang anda lakukan itu. Contohnya, jika anda sedang belajar subjek Bahasa Inggeris, anda perlu fokus seratus-peratus kepada subjek itu dan tidak memikirkan tentang perkara lain. Lupakan tentang semua perkara lain buat sementara. Ia seolah-olah, ketika anda belajar subjek itu, di dalam dunia ini cuma ada anda dan subjek itu sahaja. Semua perkara lain tidak wujud.

Apabila anda fokus begini, anda akan lebih mudah faham apa yang anda pelajari. Selalunya, pelajar yang tidak fokus akan selalu terganggu dengan perkara-perkara seperti bunyi televisyen, radio, bunyi telefon dan juga gangguan-gangguan minda lain seperti berangan-angan mahu bermain di waktu petang dan sebagainya.

Jika anda tidak fokus dan cuba berfikir tentang banyak perkara dalam satu masa, keberkesanan anda dalam melakukan sesuatu akan hilang. Ini bermaksud, katakan anda belajar dalam masa satu jam, anda mungkin sebenarnya hanya betul-betul belajar selama 20 minit sahaja. Bukankah anda sudah rugi masa selama 40 minit di situ? Adakah 40 minit itu sedikit bagi anda? Banyak sebenarnya. Mari kita cuba fikirkan apa akan jadi kalau anda rugi 40 minit sehari.

Jika anda rugi 40 minit sehari, anda akan rugi 280 minit seminggu, 1,120 minit sebulan dan 14,560 minit setahun. Jika anda rugi 14,560 minit setahun, ia adalah sama jika anda hilang lebih kurang 10 hari dalam hidup anda. Bukankah itu satu kerugian masa yang besar?

Jadi, mulai hari ini, fokus seratus-peratus kepada apa sahaja yang anda lakukan. Jika anda sedang bermain, fokus seratus-peratus kepada permainan anda dan lupakan pelajaran buat seketika. Jika anda sedang berpesatuan, fokus seratus-peratus kepada aktiviti yang anda lakukan dan lupakan semua perkara lain buat seketikan.

Jika anda mampu fokus sepenuhnya begini, anda pasti dapat menggunakan waktu anda dengan lebih baik. Anda pasti akan rasa bahawa masa anda telah menjadi semakin banyak dan anda boleh lakukan semakin banyak perkara dalam hidup anda. Mulakan teknik ini hari ini dan insyaallah saya percaya anda pasti akan berjaya!

Terbitan 2

Beberapa bulan lalu, saya kendalikan satu program yang bertajuk ?Exam! Manage your time? di Universiti Islam Antarabangsa. Di dalam program ini, pelajar ingin belajar bagaimana cara menguruskan masa mereka kerana peperiksaan semester akan bermula lebih kurang 4 minggu lagi.

Semasa saya kendalikan program ini, saya terangkan kepada mahasiswa dan mahasiswi bahawa pengurusan masa bukanlah hanya berkenaan membuat jadual harian dan senarai perkara yang perlu dilakukan apabila peperiksaan menjelang. Dalam dunia sebenar, anda mungkin anda jadual yang padat tentang apa yang patut dilakukan setiap hari. Namun masalah utamanya ialah dapatkah anda mengikuti jadual yang telah ditetapkan itu.

Satu masalah yang ketara dalam menguruskan masa ialah apabila tiba waktu belajar, anda tidak terasa hendak belajar langsung. Dalam kata lain, anda tidak ada ?mood? untuk belajar. Bila ini berlaku, bolehkah anda mengikut jadual anda dan menguruskan masa anda? Tentu tidak bukan.

Jadi, saya kongsikan beberapa langkah dalam menguruskan masa apabila peperiksaan menjelang.

Langkah pertama ? Subjek yang perlu diutamakan?

Apabila peperiksaan menjelang, jika anda mahu menguruskan masa yang baik, pertama sekali anda perlu tahu apa matlamat anda untuk peperiksaan tersebut. Maksudnya, jika anda ambil 8 subjek, apakah gred yang anda mahu capai?

Setelah anda tahu apa gred yang anda ingin capai, bayangkan, jika anda mengambil peperiksaan tersebut hari ini, apakah gred yang anda akan dapat? Adakah anda akan dapat A jika anda ambil peperiksaan itu hari ini?

Katakan matlamat peperiksaan anda dalam subjek Sains ialah gred A tetapi jika anda ambil peperiksaan itu hari ini, anda mungkin hanya boleh mendapat gred C. Perbezaan antara gred A dan gred C itu boleh memberi gambaran sebanyak mana masa yang anda perlu luangkan untuk subjek Sains ini.

Hari ini, senaraikan semua subjek yang anda ambil dalam peperiksaan yang akan datang ini. Tetapkan matlamat anda tentang gred apa yang anda ingin capai. Kemudian, fikirkan jika anda ambil peperiksaan itu sekarang, apakah gred yang anda akan dapat.

Setelah anda senaraikan semua itu, anda boleh lihat subjek mana yang anda perlu beri lebih perhatian. Lihat pada mana-mana subjek yang mempunyai jarak yang besar. Contohnya, jarak yang paling besar mungkin jika gred matlamat ialah A tetapi gred jika ambil peperiksaan sekarang ialah E. Apabila anda lihat subjek begini, anda perlu luangkan lebih banyak masa pada subjek ini.

Apa yang dimaksudkan anda perlu luangkan lebih masa untuk subjek ini? Ia bermaksud, anda jika subjek-subjek lain anda buat ulangkaji 3 jam seminggu, subjek yang anda lemah ini anda perlu luangkan dua kali ganda masa yang anda ada contohnya anda luangkan 6 jam masa mengulangkaji seminggu. Lebih baik lagi, anda tambahkan lagi masa jika anda rasa ia masih tidak mencukupi.

Bukan sahaja masa mengulangkaji, anda perlu banyak gunakan masa semasa berada disekolah untuk bertanya kepada guru anda. Minta guru anda ajar mana-mana bahagian yang anda tidak faham. Jika ada guru lambat masuk ke kelas, luangkan masa itu untuk belajar subjek tadi. Selalunya, anda pasti ada kawan-kawan yang pandai dalam subjek tadi. Anda boleh bertanya kepada kawan-kawan anda juga kerana selalunya, pelajar lebih mudah faham apabila mendengar penerangan kawan-kawan mereka sendiri.

Kesimpulan untuk hari ini, mula fikirkan bagaimana anda boleh luangkan lebih masa untuk subjek yang anda lemah. Anda ada banyak masa sebenarnya tetapi anda mungkin tidak sedar selama ini di mana anda hilang kebanyakan daripada masa anda itu. Masa yang anda banyak hilang selama ini amat berharga kepada anda kerana anda perlu gunakannya untuk subjek-subjek yang anda lemah.

Terbitan 3

Semalam?saya ada terangkan tentang program pengurusan masa yang saya jalankan di Universiti Islam Antarabangsa. Saya ada terangkan bahawa

satu masalah yang ketara dalam menguruskan masa ialah apabila tiba waktu belajar, anda tidak terasa hendak belajar langsung. Dalam kata lain, anda tidak ada ?mood? untuk belajar. Perkara ini akan membuat anda sukar untuk menyiapkan sebarang kerja.

Saya juga telah terangkan langkah pertama dalam menguruskan masa berdasaran matlamat anda. Saya ada suruh anda cari subjek yang anda rasa paling lemah dan luangkan lebih banyak masa pada subjek tersebut. Hari ini saya akan terangkan tentang langkah kedua pula.

Langkah kedua ? Cari masa yang terluang?

Kebanyakan pelajar yang tidak dapat menguruskan masa mereka mengadu bahawa mereka terlalu sibuk hingga tidak mempunyai masa langsung untuk belajar dengan tenang. Kata mereka, dari pagi hingga tengahari, mereka sibuk di sekolah. Selepas waktu sekolah, mereka sibuk pula dengan aktiviti-aktiviti kurikulum seperti persatuan, badan beruniform atau aktiviti-aktiviti kelab sekolah. Pada waktu petang pula, mereka terlibat dalam kegiatan sukan atau mereka mereka mahu menenangkan fikiran dengan berjalan-jalan atau bermain dengan kawan-kawan.

Pada waktu malam, pelajar sibuk dengan aktiviti mengaji atau ada yang perlu menghadiri tuisyen. Aktiviti ini selalunya berakhir pada pukul 10 atau 11 malam. Selepas itu, mereka sudah merasa penat dan tidak boleh belajar lagi. Mereka tidak boleh siapkan kerja sekolah atau membaca topik baru yang disuruh guru mereka di sekolah tadi. Akibatnya, mereka selalu dimarahi guru kerana tidak siap kerja sekolah dan pecapaian mereka dalam bidang akademik pula semakin menurun. Adakah anda juga merasa begini?

Benar, apa yang saya terangkan tadi adalah perkara biasa yang boleh kita lihat berlaku setiap hari kepada para pelajar. Di Kuala Lumpur, saya lihat pelajar sekolah rendah juga begitu sibuk sepanjang hari terutamanya pelajar yang perlu menghadiri sekolah agama pada waktu petang. Apakah yang boleh anda lakukan untuk mencari masa yang terluang agar anda dapat membuat kerja sekolah, mengulangkaji dan dan merasa tidak terlalu penat?

Satu perkara yang anda perlu tahu, dalam pengurusan masa, setiap masa yang ada adalah sangat berharga. Untuk mencari masa anda yang terluang, anda perlu kaji sedalam-dalamnya masa yang anda gunakan setiap hari.

Mari kita mulakan dengan masa anda di sekolah. Sebenarnya, walaupun anda ada kelas dari pagi hingga tengahahari atau petang, banyak masa yang terluang di dalamnya. Contohnya, kadangkala cikgu anda terlewa masuk kelas kerana ada mesyuarat atau perjumpaan. Kadangkala ada cikgu yang tidak masuk ke kelas kerana semua guru ada perjumpaan. Ini merupakan masa yang terluang untuk anda. Biasanya apa yang anda lakukan apabila tidak ada guru di dalam kelas begini? Kebiasaannya, saya lihat pelajar akan membuat bising, berlari ke sana ke mari dan bermain-main sesama mereka. Bukankah anda sudah kerugian masa di sini?

Saya biasa melihat sahabat-sahabat saya yang rajin belajar semasa saya bersekolah di Kolej Islam Sultan Alam Shah Klang dulu. Mereka akan buat kerja sekolah mereka apabila guru tidak ada atau semasa mereka menunggu guru masuk ke kelas. Pada waktu rehat pula, selepas mereka makan, mereka akan cuba siapkan kerja sekolah mereka secepat mungkin.

Pernah saya bertanya kepada sahabat-sahabat saya ini kenapa mereka asyik mengejar masa di sekolah untuk menyiapkan kerja sekolah mereka. Padahal, mereka boleh siapkan semasa di asrama nanti. Jawab mereka, jika semua kerja sekolah sudah disiapkan awal, mereka akan ada masa untuk membuat ulangkaji sendiri terutama subjek-subjek yang mereka rasa lemah. Kata mereka lagi, jika kerja sekolah sudah siap, mereka akan rasa lebih tenang semasa mengulangkaji kerana tidak perlu bimbang dimarahi guru nanti.

Jadi, andaperlu melakukan perkara yang sama. Hari ini, cari di mana agaknya anda boleh curi masa untuk melakukan kerja-kerja anda supaya anda banyak ada banyak masa lain untuk mengulangkaji pelajaran anda.

Terbitan 4

Semalam?saya ada terangkan tentang pengurusan masa dan bagaimana anda boleh menguruskan masa dengan lebih baik jika anda boleh mencari masa yang terluang. Berjayakah anda mencari masa anda yang terluang untuk belajar dengan lebih tekun??Hari ini, saya ingin ceritakan tentang langkah ketiga dalam menguruskan masa dengan berkesan.

Langkah ketiga ??kurangkan gangguan

Gangguan merupakan sesuatu yang boleh menggangu dan mengalihkan tumpuan anda kepada apa yang sedang anda lakukan. Contohnya, ketika?anda sedang bersemangat untuk belajar di rumah, tiba-tiba ada seseorang (adik-beradik atau ibu bapa) memasang televisyen dengan sangat kuat.

Bunyi daripada televisyen itu mungkin mengganggu tumpuan?anda terhadap apa yang?anda lakukan hingga tidak boleh fokus kepada pelajaran dengan sepenuhnya. Ini mungkin membuat?anda hilang semangat untuk meneruskan pembelajaran. Lebih buruk lagi,?anda terus menyertai aktiviti menonton televisyen tadi. Bukankah ini sangat merugikan?

Saya tidak nafikan bahawa gangguan yang berlaku amat sukar untuk dielakkan. Secara umumnya, ada dua jenis gangguan yang boleh mengganggu konsentrasi dan fokus?anda kepada pelajaran. Gangguan-gangguan itu ialah gangguan luaran dan dalaman. Hari ini saya ceritakan tentang gangguan-gangguan luaran.

Gangguan luaran?merupakan gangguan yang datang daripada luar diri anda sendiri. Bunyi televisyen dan radio yang kuat, aktiviti adik-beradik yang lain dan tugasan harian di rumah boleh jadi beberapa faktor yang menyebabkan gangguan luaran ini.

Jika?anda ada adik-beradik yang masih kecil di rumah, mungkin mereka kadang-kadang menggangu ketika?anda sedang belajar.?Gangguan luaran juga boleh disebabkan oleh faktor cuaca seperti suhu yang terlalu panas di tempat?anda sedang belajar. Selalunya, suhu yang terlalu panas boleh menggangu konsentrasi?anda semasa belajar.

Langkah mengurangkan gangguan luaran??Ada beberapa perkara yang?anda boleh lakukan untuk mengurangkan gangguan-gangguan ini. Pertama, jika gangguan itu datang daripada adik-beradik di rumah,?anda perlu mendapatkan kerjasama daripada ibu bapa di rumah.?Anda perlu bercakap dengan ibu bapa dan beritahu mereka bahawa?anda perlu sedikit masa untuk fokus kepada pelajaran adik-adik.

Mungkin ibu bapa?anda boleh menghalang adik-beradik lain daripada mengganggu proses pembelajaran anda.?Ini tidak bermaksud?anda terlepas daripada tanggungjawab untuk menjaga adik-beradik yang lain terutamanya jika ada adik-beradik yang masih kecil.

Mereka perlu juga dijaga supaya dapat mengurangkan beban ibu bapa di rumah. Apa yang saya nasihatkan ialah, dapatkan sedikit masa untuk diri?anda sendiri supaya dapat fokus sepenuhnya kepada usaha-usaha belajar dan mengulangkaji.

Kedua,?anda perlu berusaha mencari tempat yang sesuai untuk?anda belajar. Mungkin kawan?anda ada tempat belajar yang sesuai. Cari tempat yang yang tidak bising dan tempat di mana?anda tidak akan diganggu.

Ia tidak semestinya tempat yang tersorok atau sunyi. Cukup jika suasana tempat itu tenang dan bersih. Di sini,?anda boleh belajar secara berkumpulan. Cuma?anda perlu ingat, apabila sudah bersama kawan-kawan, jangan sampai lalai dan leka berborak hingga lupa tujuan utama untuk belajar.

Ketiga, jika tidak ada tempat yang sesuai di rumah atau di rumah kawan, saya cadangkan?anda luangkan banyak masa di sekolah atau di perpustakaan.

Saya percaya perpustakaan adalah antara tempat yang paling sempurna untuk?anda belajar. Ini kerana perpustakaan menyediakan tempat yang selesa untuk?anda duduk belajar, suasananya tidak bising dan?anda mudah pula untuk mendapatkan buku rujukan. Jadi, luangkan masa?anda untuk belajar di perpustakaan.

Setelah anda kurangkan gangguan luaran ini,?anda akan dapat menggunakan masa?anda dengan lebih berkesan. Mungkin dengan duduk belajar selama 40 minit sahaja, hasilnya sama dengan masa 2 jam belajar dalam keadaan penuh gangguan luaran. Saya ucapkan selamat berjaya.

Terbitan 5

Semalam?saya ada terangkan beberapa langkah untuk menguruskan masa dengan berkesan. Hari ini, saya akan terangkan bagaimana anda boleh menggunakan kefahaman tentang fisiologi untuk menguruskan masa dengan baik.

Fisiologi secara ringkasnya adalah kajian mengenai tubuh badan manusia dan bagaimana ia boleh mempengaruhi apa yang kita fikirkan. Contohnya, cuba anda jawab soalan ini:

?Kita tersenyum kerana kita gembira, atau kita gembira kerana kita sedang senyum?

Saya percaya ramai anda akan jawab kita senyum kerana kita gembira bukan? Namun dalam kajian fisiologi, satu perkara anda boleh faham, kita boleh rasa gembira apabila kita mula senyum. Maksudnya begini, cuba anda senyum selebar mungkin. Senyum sampai senyuman anda itu boleh mencecah telinga. Apabila anda senyum begini, apa yang anda rasakan? Tentu ada rasa sedikit gembira bukan?

Cuba anda tundukkan kepala dan buat muka seperti orang sedang bersedih. Apa yang anda rasakan? Tentu rasa seperti orang yang sedang benar-benar bersedih bukan?

Apa yang dapat anda faham di sini ialah, pergerakan tubuh badan kita boleh mempengaruhi apa yang kita rasakan. Jika anda tidak percaya lagi, cuba anda berjalan seperti orang yang sangat malas. Jalan dengan kaki yang berat dan muka yang lemah seperti orang yang betul-betul sedang malas. Semasa berjalan dengan malas begitu, cuba pergi ambil buku dan baca buku itu. Baca buku itu pun dengan rupa orang malas. Apa yang anda rasakan? Ya, saya percaya anda akan rasa seperti orang malas.

Sekarang, mari kita tukar. Cuba senyum, tegakkan tubuh anda dan mula berjalan seperti seorang pelajar yang rajin dan bijak. Jalan dengan bersemangat dan wajah yang ceria. Ambil buku tadi dan cuba baca. Baca buku itu seperti seorang yang sedang bersemangat, rajin dan bijak. Apa yang adik rasa? Ya, sama seperti cubaan pertama tadi, kini anda pasti merasa rajin dan bersemangat.

Apa yang saya mahu anda faham ialah, jika anda rasa malas dan mengantuk semasa belajar, ada kemungkinan ia kerana anda suka duduk dan belajar seperti orang yang malas. Anda mungkin suka membuat muka seperti orang mengantuk dan malas tanpa anda sedari.

Apa yang perlu dilakukan??Mulai hari ini, saya mahu anda perhatikan cara anda melakukan sesuatu. Perhatikan cara anda belajar di dalam kelas. Adakah anda belajar dalam kedudukan orang yang malas atau rajin, bijak atau tidak? Jika anda sedar bahawa anda tidak duduk, berjalan dan membaca dengan cara yang betul, mula ubahnya dari sekarang.

Satu perkara lagi yang anda boleh lakukan, mula lihat dan perhatikan pelajar-pelajar yang rajin dan pandai di kelas atau di sekolah anda. Perhatikan gerak geri mereka semasa belajar. Adakah mereka kelihatan seronok dan bersemangat ketika belajar? Saya percaya mereka memang seronok dan bersemangat ketika belajar. Jadi, tiru apa yang mereka lakukan. Tiru gaya pergerakan mereka dan anda juga akan merasa bijak dan bersemangat seperti mereka.

Perkara ini perlu dilatih sebenarnya. Jika adik lakukan perkara ini, pada mulanya anda mungkin rasa sedikit janggal kerana anda tidak biasa melakukannya. Tetapi setelah anda biasa melakukannya, anda akan rasa selesa dan boleh belajar dengan rasa bijak dan rajin. Ia sama seperti belajar menunggang basikal. Pada mulanya, anda perlu mengayuh dengan berhati-hati dan perlahan-lahan. Tetapi setelah cekap, anda boleh mengayuhnya tanpa berfikir mengenainya langsung.

Selamat mencuba.?.?

2 Comments

Leave a Comment