Dr. Paul Temporal adalah seorang pakar diperingkat Asia dan antarabangsa di dalam penciptaan jenama, pembangunan jenama dan juga pengurusan jenama. Beliau Mempunyai pengalaman lebih 25 tahun di dalam bidang Consulting & Training.

Kelebihan utama beliau ialah strategi beliau yang praktikal dan beliau mementingkan strategi yang boleh membuahkan hasil. Antara pelanggan yang pernah menggunakan khidmat beliau ialah Coca-Cola Corporation, Microsoft, Intel, Fraser & Neave, Maybank dan banyak lagi.

Beliau aktif dalam menyumbangkan kepakaran beliau dalam perbincangan yang biasanya dianjurkan oleh The Economist Group dan Business Week. Baru-baru ini pula, beliau telah dilantik oleh Kerajaan Negara China sebagai perunding jenama bagi membantu Negara China membentuk jenama di peringkat antarabangsa.

Seminar setengah hari ini diadakan di Hotel Crowne Plaza Mutiara pada 7 September 2006 yang lalu. Tiket bagi penyertaan bagi kursus ini adalah antara RM450 hingga RM650.

Lebih 150 peserta telah hadir dalam seminar ini. Boleh dikatakan lebih 90% peserta ini terdiri daripada pekerja bidang korporat yang dihantar oleh syarikat masing-masing bagi mendalami ilmu yang disampaikan oleh Dr. Paul Temporal ini. Antara peserta yang dapat saya temui adalah pengurus jenama syarikat, ketua pengarah bahagian pemasaran dan juga pengurus-pengurus dan pengarah bahagian jualan dan hubungan awam syarikat.

Banyak yang dapat dipelajari di dalam seminar ini. Dr Paul telah menunjukkan beberapa teori mengenai jenama terutamanya apa kekuatan dan kelebihan jenama, bagaimana ia berkait dengan strategi korporat, bagaimana cara mencipta dan membina jenama dalam jangka masa panjang, bagaimana cara menggunakan jenama untuk mengatasi saingan dan yang paling hebat, bagaimana jenama dan emosi dikaitkan supaya pelanggan akan setia kepada jenama anda.

 

Saya dan Dr Irfan telah lama menanti peluang bertemu dengan pakar seperti Dr Paul Temporal ini. Buku-buku beliau adalah sangat hebat dan setanding dengan buku-buku daripada penulis antarabangsa yang lain.

Namun, kebanyakan peserta yang lain agak terkejut apabila mengetahui kami pergi ke kursus ini tanpa dihantar oleh mana-mana syarikat. Mengapa kami pergi ke seminar ini sedangkan peserta lain adalah daripada syarikat-syarikat gergasi di Malaysia.

Kami hanya tersenyum. Tidak perlu menunggu untuk menjadi gergasi baru mahu menuntut ilmu kan? Seminar ini adalah majlis ilmu yang hebat dan pasti kami tidak mahu melepaskan peluang yang sebegini.

Saya ingin kongsikan satu maklumat ilmu yang telah saya perolehi daripada seminar hebat ini. Jenama tidak semestinya berkait dengan syarikat besar sahaja. Syarikat besar menggunakan terma jenama atau 'brand' untuk mendefinisikan diri mereka. Jadi, tujuan sebenar ilmu ini dipelajari ialah bagaimanakah caranya anda boleh mendefinisikan perniagaan anda atau lebih baik bagaimana anda boleh mendefinisikan diri anda sendiri.

Nama anda atau nama perniagaan anda adalah berkait dengan satu definisi. Apakah agaknya definisi yang anda mahu kaitkan atau lekatkan kepada nama anda atau perniagaan anda? Sama-samalah kita fikirkan.

 

 

© All Rights Reserved 2007. www.OsmanAffan.com