Terima kasih cikgu…terima kasih anak muridku…

Terima kasih cikgu…terima kasih anak muridku…

Beberapa hari lepas, setelah selesai menjalankan program SmartStudy Learning Skills di sebuah sekolah menengah di Pasir Gudang Johor, seorang pelajar perempuan tingkatan 5 menghampiri saya. Dia meminta kebenaran bagi mengambil gambar bersama saya. Setelah mengambil gambar, dia berkata,

“Cikgu, saya nak ucapkan terima kasih.”
“Sama-sama. Kenapa ya?” Soal saya ingin tahu.
“2 tahun lepas, semasa saya hampir menduduki peperiksaan PMR, saya tonton motivasi pagi TV3 yang cikgu kendalikan. Masa tu cikgu beritahu kalau hendak hilangkan tekanan perasaan semasa peperiksaan, kita kena bayangkan bagaimana peperiksaan sudah berakhir dan betapa kita rasa gembira kerana berjaya menjawab soalan dengan baik. Saya buat apa yang cikgu beritahu. Alhamdulillah, saya berjaya dalam PMR cikgu. Tahun ini saya akan ambil SPM pula.”
Saya tersenyum. Tahun ini pelajar ini dapat bersemuka dengan saya bagi mempelajari beberapa teknik belajar berkesan dengan lebih lanjut.

Pengalaman ini membuat saya terfikir tentang beberapa perkara semasa saya memandu pulang ke Kuala Lumpur. Apakah perkara penting yang baru berlaku sebentar tadi? Apakah faedah yang pelajar tadi perolehi dengan memberitahu saya tentang pengalamannya? Jika dia tidak beritahu saya mengenai perkara itu dan diamkan sahaja, dia tetap telah berjaya dengan cemerlang di dalam peperiksaan PMR 2 tahun lalu. Jadi, apakah kepentingan peristiwa ini?
Bagi saya, apa yang perlu difikirkan di sini ialah kita perlu menghargai apa yang diajarkan kepada kita tidak kira sekecil manapun pengajaran tersebut. Apa yang pelajar ini lakukan ialah dia meluahkan rasa syukur dan terima kasihnya kepada saya walaupun saya rasa terlalu kecil perkara yang mungkin telah saya sumbangkan. Malah saya percaya kejayaannya tidak ada kena mengena langsung apa yang ditontonnya. Dia berjaya kerana berkat usaha gigihnya dan juga berkat doa ibu bapa, guru dan kenalannya. Persoalannya sekali lagi, apakah kepentingan peristiwa mengucapkan terima kasih ini?
Bagi saya, satu perkara paling penting mengenai peristiwa ini ialah, apa yang pelajar ini lakukan membuat saya rasa gembira, tenang, syukur dan seronok. Sebagai seorang guru, walau saya cuba merendah diri serendah mana sekalipun, saya tetap rasa gembira dan puas apabila anak murid saya dapat manfaat. Ia menguatkan lagi semangat saya untuk berusaha mencari jalan lain bagi membantu mereka.

Percaya atau tidak, pelajar tadi tidak memperoleh apa-apa faedah langsung dengan memberitahu saya perkara tersebut kerana saya bukan guru yang mengajarnya sekarang. Apa yang dilakukannya memberi satu faedah kepada saya kerana ia semakin meningkatkan semangat dan keyakinan diri saya. Saya rasa semakin terkejut apabila tersedar bahawa
seorang pelajar yang baik bukan sahaja dapat terima ilmu yang disampaikan oleh gurunya, malah dapat meningkatkan semangat dan keyakinan diri gurunya hingga guru tersebut boleh berkhidmat dengan lebih baik lagi pada masa akan datang’.
Hasilnya, pelajar-pelajar lain akan turut mendapat faedahnya.
Saya tersenyum sepanjang perjalanan dari Johor ke Kuala Lumpur memikirkan tentang perkara ini. Dulu saya fikir seorang guru yang baik mampu menaikkan semangat dan keyakinan diri anak muridnya. Kini saya tersedar yang anak murid juga mampu menaikkan semangat dan keyakinan diri seorang guru.
Jadi, apa kata

  • Jika kita seorang anak murid (tidak kira dalam bidang ilmu apa sekalipun), ucapkan terima kasih kepada guru kita walaupun tidak kelihatan apakah faedah yang bakal kita perolehi daripada perbuatan tersebut.
  • Jika kita seorang guru, hargai segala ucapan dan pemberian anak murid kita. Walaupun anak murid hadiahkan hadiah sekecil satu ucapan selamat, kita boleh gunakannya sebagai satu alat untuk menguatkan lagi semangat dan keyakinan kita bagi terus berjuang menyampaikan ilmu kepada anak bangsa.

(Gambar hiasan: Bersama pelajar tahun 6 Sekolah Berprestasi Tinggi Johor, SK Bandar Baru Uda)

Comments are closed.