Tidak ada buku kerja di Universiti.

Tidak ada buku kerja di Universiti.

Salam En Osman,
Osman Affansaya menuntut di Mansoura University, Egypt dan mengambil bidang pergigian.
Masalah utama saya adalah, lectures nya semua dalam bahasa arab, jadi kami, pelajar pergigian tend to skip lectures disebabkan tak faham dengan apa yang Dr. ajar di depan. Walaubagaimanapun kami ada buku teks dalam English, untuk membantu.
Sepanjang bersekolah di Malaysia, saya dah biasa beli buku kerja banyak2, jadi untuk meningkatkan output saya, saya memang akan cuba buat sebanyak latihan dan soalan yang saya mampu.
Tetapi di Mansoura ni, ye lah, nama pun Universiti kan,
takda buku kerja! Jadi, saya rasa kekok sikit nak belajar memandangkan style saya belajar dari nak menghadapi UPSR sampailah ke SPM, berbantukan buku buku kerja.
Even di matriks dulu pun ada buku kerja.
Jadi macam mana saya nak meningkatkan output saya?
Apa yang saya buat selama belajar di sini adalah, baca notes ulang2 kali, baca buku teks ulang2 kali, dan saya cuba ingat, dan saya tulis balik, ulang2 kali.
Tulis berulang2 kali tu aje lah cara output saya di sini.
Setakat ni kami tak ada peperiksaan Mid Sem 1, jadi IQ kami semua sebenarnya belum diuji lagi. Kami punya peperiksaan 100% selepas Sem 2 habis nanti, which is our final.
Any suggestions maybe?
Osman AffanSalam. F.N.

Terima kasih kerana menghantar mesej kepada saya. Menarik soalan ini. Sangat jelas masalahnya dan sangat tepat cara penyampaiannya. Jika ditanya pendapat saya mengenai soalan ini, beginilah jawapannya. Ada beberapa perkara penting yang perlu saya sampaikan.

Pertama, jangan ‘skip lectures’. Benar, susah hendak faham malah selalunya tidak faham langsung. Namun kalau F.N. tetap hadir dan berusaha untuk faham, akan bertambah satu lagi kemahiran dalam diri F.N. iaitu kemahiran bahasa dan kemahiran memahami apa yang sedang disampaikan. Langsung tidak rugi saya percaya. Tambahan pula, jauh F.N. belajar sampai ke Egypt untuk belajar, alangkah ruginya kalau terlepas peluang berdepan dengan orang yang mempunyai ilmu.

Tambahan lagi, saya sedar kebanyakan pelajar yang ‘rajin belajar’, percaya bahawa mereka dapat belajar lebih banyak jika mereka belajar sendiri. Hakikatnya, belajar sendiri dan belajar dihadapan seorang guru adalah sangat jauh berbeza. Mesej yang disampaikan oleh seorang guru atau pensyarah bukan sahaja boleh diterima melalui bahasanya tetapi melalui gerak geri tubuhnya dan juga memek mukanya. Kita namakan perkara ini body language kan? Itu pun belum dikira berkat seorang guru yang boleh dilimpahkan kepada pelajarnya. Pendek kata, sangat besar faedah belajar dengan cara berdepan dengan guru.

Jadi, saya amat mengesyorkan F.N. hadir ke kuliah. Kuatkan penguasaan bahasa dan timbulkan rasa seronok berada di hadapan orang yang berilmu.

Kedua, kita bercerita sedikit tentang output learning. Menurut apa yang saya faham, pembelajaran output ialah di mana kita cuba keluarkan semula daripada minda kita apa yang telah dipelajari. Sebagai contoh, setelah kita habis membaca satu bab, kita tutup buku, dan sebutkan atau tuliskan semula apa yang telah kita faham atau ingat daripada pembacaan tadi. Ini dilakukan tanpa membuka buku itu semula. Aktiviti ini akan menunjukkan kepada kita sebanyak manakah kita boleh keluarkan semula apa yang baru kita pelajari.

Aktiviti ini juga menunjukkan kepada kita bahawa sebahagian besar yang kita baru baca dan pelajari tadi sebenarnya hanya singgah di memori jangka pendek sahaja. Ada lagi perkara lain yang perlu dilakukan untuk membuat kita lebih mudah keluarkan apa yang telah dipelajari daripada minda.

Osman AffanApa yang F.N. tuliskan mengenai baca berulang-ulang kali dan tulis berulang-ulang kali itu sebenarnya masih lagi cara pembelajaran input. Kita tulis dan baca berulang kali supaya ia masuk dan lekat di dalam minda kita bukan? Jadi ia masih lagi tidak melatih diri F.N. untuk ingat dengan baik atau masih lagi tidak menguatkan kebolehan F.N. bagi menjawab soalan dengan baik di dalam peperiksaan.

Jadi mari kita bincangkan bagaimana mahu meningkatkan pembelajaran output walaupun tidak ada buku kerja di sana. Sebelum itu, cuba fikirkan, buku kerja tu sebenarnya buku apa ya?

🙂 Mungkin ramai yang mahu menjawab soalan saya itu. Secara mudah, buku kerja selalunya penuh dengan soalan bukan? Soalan apa? Soalan mengenai topik atau subjek yang kita pelajari. Di peringkat sekolah rendah dan menengah, pelajar diberi kemudahan dengan adanya buku-buku sebegini. Mereka tidak perlu berfikir kerana semua soalan telah disediakan. Semakin banyak soalan mereka jawab, semakin baik keputusan peperiksaan mereka.

Namun di peringkat universiti, pelajar perlu belajar berfikir sendiri untuk menghasilkan soalan-soalan ini. Jika pelajar boleh hasilkan soalan sendiri, ia sama seperti mereka menghasilkan buku kerja mereka sendiri.

Jadi untuk F.N. saya cadangkan supaya senaraikan sebanyak soalan yang mungkin tentang topik yang sedang dipelajari. Contohnya, jika sedang membaca bab 1 (mana-mana subjek), soal diri sendiri

  • Bab ini berkenaan apa?

  • Apakah fokus utama dalam bab ini?

  • Apakah kata kunci atau isi penting dalam bab ini?

  • Fakta manakah yang penting dan mungkin disoal dalam peperiksaan nanti?

Banyak lagi soalan yang perlu disenaraikan. Jika masih buntu soalan apa yang penting dan patut difikirkan, rujuk soalan tahun-tahun lepas yang biasanya boleh didapati di perpustakaan. Mungkin F.N. boleh rujuk kepada sesiapa yang lebih tahu bagi mengetahui di mana soalan-soalan ini boleh diperolehi. Soalan-soalan lepas ini boleh membantu F.N. mendapat gambaran apakah maklumat penting yang perlu diingat dan apakah bentuk soalan yang bakal keluar. Ini akan membuat F.N. lebih bersedia dan lebih fokus semasa belajar.

Akhir sekali, jangan lupa dapatkan lagi teknik-teknik belajar yang berkesan. Perlu diingat, skor di peringkat sekolah rendah dan menengah sangat berbeza dengan skor di universiti. Saya faham benar perkara ini kerana saya sendiri pernah alami masalah yang sama. Buat masa ini, saya cadangkan F.N. baca beberapa artikel yang telah saya tulis di www.osmanaffan.com/kompilasi.htm. Baca artikel yang berkenaan dengan cara mudah ingat apa yang dipelajari dan mudah ingat apa yang dibaca.

Saya ucapkan selamat berjaya kepada F.N. Tidak terlewat untuk saya ucapkan tahniah kerana berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara. Banggakan Agama, ibu bapa dan banggakan negara! 🙂

Comments are closed.