Trainer Profesional. Kongsikan kisah anda, jika ada.

Trainer Profesional. Kongsikan kisah anda, jika ada.

Pernahkah anda dikutuk, disindir atau dijadikan bahan umpatan oleh trainer atau penceramah dalam industri training anda?

Apakah yang anda rasa apabila anda dapat tahu seorang trainer yang selama ini anda hormati rupa-rupanya sibuk mengutuk dan mengumpat anda di hadapan audiens atau di hadapan pengikut-pengikutnya?

Perlukah anda rasa sedih, marah, risau, kecewa atau berputus-asa setiap kali mendengar kutukan dan umpatan trainer-trainer tersebut?

Jika anda tanya saya, saya akan kata, setiap kutukan perlu diambil kira tetapi tidak semua perlu diterima.

Perlu Ambil Kira
============

Setiap kali ada orang mengutuk, kita perlu lihat apakah ISI KANDUNGAN kutukan mereka itu. Ini kerana kutukan merupakan satu sumber yang baik untuk kita memajukan diri kita sendiri sebagai seorang trainer.

Jika orang kutuk kita mengatakan modul kita lemah dan tidak relevan, kita perlu kaji dengan mendalam adakah benar kutukan tersebut? Rujuk kenalan atau mentor yang lebih pakar berkenaan perkara ini.

Begitu juga jika orang kutuk kita mengatakan program kita bosan, isi kandungan tidak relevan, terlalu banyak menyimpang daripada topik asal dan sebagainya. Kita perlu fikir dan kaji, apakah perkara itu semua benar? Sekali lagi, rujuk seseorang yang lebih pakar dan berpengalaman.

Jika didapati KUTUKAN itu BENAR, tidak perlulah kita bersusah hati, marah atau kecewa. Apa yang perlu dilakukan ialah betulkan dan kuatkan modul tersebut. Hasilnya, kita akan mendapat manfaat dan faedah PERCUMA daripada kutukan tadi.

Tidak Perlu Terima
==============

Seterusnya, ada kutukan yang tidak perlu diterima. Saya dapati, ramai trainer yang saya kenali suka mengutuk sesuatu yang berbeza dengan mereka.

Jika mereka pakai baju melayu, mereka akan ada kecenderungan mengutuk orang yang pakai baju kemeja.

Jika program mereka banyak menggunakan games, mereka akan cenderung mengutuk mereka yang banyak menekankan perkongsian ‘ilmu teknikal’ dalam program mereka.

Jika mereka bercakap perlahan-lahan, mereka akan mengutuk orang yang bercakap laju.

Jika mereka buat program gunakan PowerSlides atau Gadjet berteknologi tinggi, mereka akan kutuk trainer yang guna whiteboard atau yang tidak gunakan apa-apa langsung.

Bagi saya, kutukan begini kita BOLEH ABAIKAN. Saya percaya, jika kita faham dan yakin bahawa cara yang kita gunakan itu betul dan mampu mencapai matlamat yang diminta oleh pelanggan, kita boleh teruskan sahaja.

Pengalaman Kena Kutuk
==================

Sejak awal memasuki dunia training pada tahun 2005 dulu, saya adalah seorang yang selalu gunakan PENDEKATAN BERBEZA.

Jadi, saya jugalah yang paling mudah menjadi BAHAN dan SUMBER KUTUKAN trainer-trainer yang sudah berpengalaman, sudah otai dan juga trainer-trainer yang baru memasuki dunia training.

Jenuh mahu senaraikan segala benda mereka kutuk saya. Sebahagiannya masih mengutuk hingga ke hari ini.

Antaranya:

1. Saya bercakap laju, kena kutuk. Mereka kata trainer kena cakap perlahan-lahan dan teratur.

2. Saya banyak guna slides, kena kutuk. Mereka kata orang yang banyak guna slides Ini tidak nampak pro, nampak tidak hebat.

3. Saya tidak benarkan rakaman dalam program, kena kutuk. Mereka kata mahu rakam pun tak boleh, kenapa kedekut sangat?

4. Saya tidak berikan file powerslides saya kepada yang meminta, kena kutuk. Mereka kata kedekut sangat, ilmu tu kan milik Allah?

5. Saya pakai kot dan tali leher, kena kutuk. Mereka kata saya old fashioned, mungkin patut sudah kena simpan kat muzium.

Paling terbakar saya dengar secara ‘face to face’, ketua satu group trainer ini kata, bila tengok orang pakai tali leher, dia terbayang kisah dalam Al-Quran, rupa rantai besi yang terikat di leher orang-orang yang sedang merangkak masuk neraka….

(Allahu… Tidak dapat saya tuliskan apa perasaan saya ketika itu bila terdengar perumpamaan tersebut keluar daripada mulut seorang trainer).

6. Saya ajar teknik memori, kena kutuk. Mereka kata teknik menghafal adalah kemahiran PALING RENDAH (Baca: paling hina) dalam kemahiran belajar.

7. Saya lawan pengkhianatan bekas trainer yang pecah amanah, kena kutuk. Mereka kata seorang yang Islamik itu sepatutnya ‘Redho’ dengan apa yang berlaku.

8. Saya tulis posting berkenaan kes pecah amanah untuk bersihkan nama baik kami, kena kutuk. Mereka kata ia membuka aib sang pencuri, sepatutnya diam-diamkan sahaja.

9. Saya ambil tindakan mahkamah, kena kutuk. Mereka kata ia menganiaya orang yang telah menganiaya saya. (hmmm… macam mana pulak tu…)

10. Saya bawa gadjet lengkap pergi program, kena kutuk. Mereka kata tidak perlulah bawa semua, sepatutnya boleh minta pelanggan sediakan, jadi, trainer boleh datang berlenggang sahaja.

11. Saya pergi program seorang diri dan buat semua set up sendiri, kena kutuk. Mereka kata sepatutnya saya bawa satu team, baru nampak gah dan profesional.

12. Saya banyak buat program dengan sekolah, kena kutuk. Mereka kata saya sepatutnya kena banyak buat public programme.

13. Saya tulis artikel panjang, kena kutuk. Mereka kata tulislah pendek sikit, senang orang nak baca.

Dan banyak lagi… lenguh mahu senaraikan dan fikirkan semula.

PALING TIDAK LUPA, seorang sahabat trainer memohon maaf kepada saya dan berkata,

“…..betul bang… pernah ada satu masa tu, sesama kami, the topic of the week is mengutuk Osman Affan. Saya sekarang dah tak join lagi kalau mereka borak-borak macam tu..”

Terkedu. Terus jauh-jauh saya tinggalkan group trainer tersebut sampai sekarang….

APA YANG MENARIKNYA.
==================

Jika kita benar-benar perhatikan, majoriti yang mengutuk itu bukanlah dalam kategori trainer yang sangat hebat dan berjaya. Malah sebahagian besarnya termasuk dalam kategori yang baru mahu naik atau yang ‘timbul tenggelam’ dalam dunia training.

Saya dapati, trainer yang sangat-sangat hebat dan berjaya tidak mahu membuang masa mengutuk-ngutuk orang lain ini. Mereka lebih fokus kepada apa yang sedang mereka usahakan.

Malah, mereka lebih hebat dalam mengamalkan etika kerja yang mulia dan profesional. Mereka dalam diam dan dalam keadaan tidak dikenali ramai, membuat sales dalam training sebanyak RM10 juta hingga RM25 juta setahun.

Jadi, berdasarkan apa yang saya pelajari, saya abaikan sahaja kutukan-kutukan ini dan FOKUS pada cara untuk memajukan lagi kemahiran & kepakaran dalam bidang training saya sendiri.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat. Mohon Share & sebarkan buat sahabat-sahabat lain yang mungkin SEDANG BERSEDIH akibat asyik KENA KUTUK dengan kenalan trainer yang lain.

Terima kasih.

Osman Affan
TrainerProfesional.com

P/S Bagaimana dengan kisah anda?





Comments are closed.