3 Sumber Keyakinan Diri

Pembuka kata

Bagi saya, keyakinan diri adalah sesuatu yang amat-amat berharga. Tanpa keyakinan diri, seorang yang berilmu tidak akan dapat mengamalkan ilmunya. Tanpa keyakinan diri, seorang yang gagah tidak akan mampu menggunakan kekuatannya. Tanpa keyakinan diri, seorang yang hebat tidak akan mampu menyerlahkan kehebatan dirinya.

Keyakinan diriSaya juga percaya, walau sehebat mana pun diri kita, ada masanya kita merasa seolah-olah hilang punca dan hilang semua keyakinan diri yang pernah kita miliki. Kita rasa rendah diri dan tidak mampu menghadapi cabaran. Kadangkala dengan hanya melihat kejayaan orang lain sahaja sudah mampu membuat kita rasa sedih, kecewa dan tidak yakin dengan kebolehan diri sendiri.

Banyak sebab mengapa kita boleh mengalami keadaan begitu. Namun, dalam posting kali ini, saya tidak berminat untuk menceritakan itu semua kerana saya percaya anda semua pasti sudah tahu sebab-sebabnya. Apa yang ingin saya kongsikan ialah di saat kita merasa lemah dan tidak yakin diri, dari manakah kita boleh dapatkan setitik atau seteguk keyakinan diri agar kita kembali bertenaga untuk meneruskan cabaran dan rintangan hidup? Di manakah letaknya sumber utama kekuatan dan keyakinan diri kita?

Untuk menjadikan posting ini lebih bermakna dan lebih anda ingati, apa kata anda fikirkan dulu hari ini tentang soalan ini. Biasanya, apabila anda merasa rendah diri atau hilang keyakinan diri, apa yang anda lakukan untuk menaikkan semula semangat dan keyakinan diri anda?

Sumber 1

Sudahkah anda menjawab soalan saya yang lepas iaitu ?Biasanya, apabila anda merasa rendah diri atau hilang keyakinan diri, apa yang anda lakukan untuk menaikkan semula semangat dan keyakinan diri anda??

Keyakinan diriHari ini dan beberapa posting saya seterusnya, saya akan kongsikan 3 sumber utama keyakinan diri yang boleh digunakan untuk menaikkan tahap keyakinan diri kita disaat kita merasa lemah, tidak bermaya, rendah diri dan tidak yakin. Sumber keyakinan diri yang pertama ialah ?Kejayaan dan kenangan manis di masa lalu?.

Adakah anda pernah mengecap apa-apa kejayaan (walaupun kecil) di masa lalu? Pernahkah anda menang apa-apa pertandingan, mendapat apa-apa anugerah atau dihadiahkan dengan sesuatu yang istimewa? Jika pernah (saya percaya tentu anda pernah ada pengalaman sebegini), anda boleh gunakannya sebagai sumber keyakinan diri.

Menurut pemerhatian saya, masalah utama orang-orang atau pelajar yang tidak yakin diri ialah mereka terlalu fokuskan minda mereka kepada kelemahan diri mereka. Mereka sentiasa terlihat akan kelemahan diri mereka setiap hari dan setiap masa. Apabila mereka lihat kecemerlangan pelajar lain, mereka rasa mereka tidak cemerlang. Apabila mereka melihat kehebatan orang lain, mereka terlupa akan kehebatan mereka.

Kenangan manisBenarkah ini yang berlaku? Hmm?. jika anda tidak percaya, cuba anda bertanya kepada pelajar di sekolah-sekolah terpilih atau sekolah berasrama penuh. Sekolah-sekolah ini dipenuhi dengan pelajar-pelajar yang mempunyai rekod akademik yang cemerlang namun masih ramai juga antara mereka yang merasa tidak pandai, lemah dan tidak cemerlang. Apa yang bahayanya ialah apabila mereka mula percaya bahawa mereka tidak cemerlang, ia akan menjadi kenyataan.

Jadi, jika anda bersungguh-sungguh untuk meningkatkan tahap keyakinan diri anda, apa kata hari ini anda senaraikan sekurang-kurangnya 5 kejayaan atau kenangan manis (lebih banyak lebih baik)?anda di masa lalu yang bisa membuat anda rasa gembira, seronok dan yakin dengan kebolehan diri anda. Setelah anda senaraikan, cuba imbas kembali saat itu, ingat kenangan itu sejelas-jelasnya dan rasakan apa-apa perubahan keyakinan di dalam diri anda.

Selamat mencuba.?:)

Sumber 1.1

Sudahkah anda senaraikan sekurang-kurangnya 5 kejayaan atau kenangan manis anda di masa lalu? Jika sudah, bagus. Anda?ternyata?bersungguh-sungguh mahu meningkatkan tahap keyakinan diri anda.

Keyakinanan diriLangkah seterusnya ialah anda perlu imbas semula kenangan ini. Cari satu tempat yang tenang. Duduk dengan tenang dan imbas kembali kenangan ini semua. Jika anda seorang pelajar, boleh lakukan aktiviti ini sebelum mula belajar. Jika seorang pekerja, boleh lakukan aktiviti ini sebelum melakukan sesuatu yang mencabar keyakinan diri anda. (Jika anda lakukan selepas sembahyang lebih baik). Lihat semula kenangan ini semua seolah-olah anda sedang melihat satu tayangan gambar di dalam minda anda. Perkara yang paling penting anda harus capai dalam aktiviti ini ialah ?anda?perlu rasakan dengan jelas betapa seronoknya dan betapa hebatnya perasaan menjadi seorang yang berjaya?.

Semasa mengimbas kenangan itu juga, cuba rasakan betapa keyakinan diri anda sangat tinggi ketika?mengecapi kejayaan?itu. Contohnya, ketika anda berjaya menjadi pelajar cemerlang dengan mendapat keputusan yang sangat baik di dalam peperiksaan dulu, apakah yang anda rasa? Gembira? Teruja? Yakin? Hebat?

Teruskan berada di dalam perasaan itu semua buat seketika. Kemudian, dalam masa yang sama, cuba fikir begini, ?kalau dulu boleh berjaya, maknanya aku pun orang yang hebat. Kalau dulu boleh berjaya, sekarang pun mesti sama boleh berjaya juga!?

Apa yang berlaku apabila anda lakukan aktiviti ini? Sebenarnya, apabila anda mengimbas kenangan kejayaan ini, anda sedang cuba mengekalkan imej kejayaan di dalam minda anda. Dalam satu masa, manusia hanya boleh meletakkan satu imej sahaja di dalam minda mereka untuk difokuskan. Maksudnya, jika anda sedang fokus kepada?kegagalan?lepas, imej kegagalan akan memenuhi minda anda. Jadi, imej kejayaan tidak akan berada di situ. Akibatnya, anda jadi resah, gelisah, bimbang setiap masa dan hilang keyakinan diri.

Sama juga, apabila anda kekalkan imej?kejayaan, ia akan memenuhi minda anda dan imej kegagalan tidak akan ada di situ. Hasilnya, anda rasa lebih tenang, ceria dan yakin dengan kebolehan diri anda.

Seterusnya, saya akan terangkan apa yang boleh anda lakukan jika anda tidak ada banyak kenangan manis atau kejayaan di masa lepas.?:)

Sumber 1.2

Apabila kita merasa tidak yakin diri atau lemah semangat, kadangkala agak sukar untuk kita mengimbas kembali saat-saat gembira atau saat-saat di zaman kegemilangan kita di masa lepas. Ini kerana fikiran kita terlalu tertumpu kepada situasi sekarang? dan kita seolah-olah tidak mampu melepaskan diri. Ini juga selalu menyebabkan kita merungut yang kita tidak ada saat-saat gembira atau saat-saat gemilang di masa lepas. Saya percaya ini tidak benar.

Keyakinan diri melalui imaginasiNamun, jika ada yang masih percaya itu semua benar (bahawa mereka tidak ada kenangan gembira atau kejayaan di masa lepas), apa yang boleh dilakukan? Saya cadangkan begini. Jika kita rasa kita tidak ada kenangan yang boleh menaikkan semangat diri untuk merasa yakin,?kita boleh cipta sendiri satu kenangan baru. Apa maksud saya?

Kenangan manis atau saat kegemilangan di masa lalu sebenarnya hanyalah satu imej yang dimainkan di dalam minda kita. Apabila kita teringat kenangan yang indah, kita kadang-kadang tersenyum dan ketawa sendirian walaupun itu tidak berlaku sekarang. Apa yang perlu kita tahu ialah?minda kita sebenarnya tidak boleh bezakan sama ada apa yang kita kenang itu perkara yang benar atau rekaan imaginasi sahaja. Maksud saya, bila kita?cipta/reka ?satu kenangan kejayaan di masa lepas di dalam minda, minda kita tidak tahu yang ia hanyalah satu imaginasi dan tidak pernah berlaku. Jadi, walaupun ia hanya imaginasi, minda kita boleh memberi arahan kepada tubuh kita untuk ketawa, senyum atau menangis disebabkan imaginasi itu. Hebat bukan?

Ini bermakna, apabila kita bayangkan yang kita seorang yang hebat dan petah berkata-kata di masa lepas, minda kita akan beri arahan kepada seluruh tubuh kita agar berkelakuan, bergerak, berkata-kata seperti seorang yang betul-betul hebat dan petah berkata-kata. Kesannya kita akan menjadi yakin dan benar-benar percaya kita boleh menjadi hebat dan petah berkata-kata. Namun kita perlu ingat, yakin dan boleh buat adalah dua perkara berbeza. Ada orang yakin untuk bercakap dikhalayak ramai tetapi tidak boleh bercakap dengan baik. Ada orang yakin boleh menendang bola tetapi menendang seperti kayu memukul bola. Keyakinan perlu diikuti latihan susulan. Apabila kita yakin dan berlatih, kta lebih mudah menguasai sesuatu ilmu.

Jadi hari ini, fikirkan apa kenangan kehebatan di masa lepas yang ingin anda cipta atau reka? Keyakinan diri untuk apa yang anda mahukan. Seterusnya nanti saya akan terangkan apa yang perlu dilakukan bagi melatih keyakinan diri yang baru menggunakan imaginasi kejayaan di masa lepas ini.

Selamat mencuba.

Sumber 1.3

Jika kita benar-benar mahu meningkatkan keyakinan diri untuk melakukan apa sahaja, ada beberapa perkara yang harus kita lakukan berdasarkan tips sumber pertama keyakinan diri ini. Sebelum itu, bayangkan diri kita dalam satu situasi yang selalu membuat kita rasa tidak yakin dan lemah semangat. Contohnya, untuk pelajar, mungkin situasi di mana mereka perlu belajar subjek-subjek yang dikatakan sukar. Bagi mahasiswa dan mahasiswi, mungkin mereka tidak yakin semasa hendak membentangkan hasil kajian mereka di depan pelajar lain dan juga pensyarah. Bagi pekerja,?Sumber keyakinan dirimungkin mereka tidak yakin untuk berucap atau meluahkan idea mereka di hadapan orang lain terutamanya orang yang lebih berpangkat.

Langkah pertama, kita patut sedar bahawa rasa berdebar diikuti degupan jantung yang begitu kencang adalah perkara biasa. Jangan merungut dan berharap agar kita tidak rasa berdebar. Jika anda tanya saya, saya akan kata bahawa rasa berdebar itu boleh membantu kerana ia sebenarnya akan membuat anda lebih berhati-hati dan peka.

Langkah kedua, jika rasa berdebar membuat anda tidak boleh berfikir dengan baik, lakukan dua perkara ini. Satu, tarik nafas sedalam mungkin dan tahan selama beberapa saat. Jangan fikir apa-apa. Lepaskan nafas itu dengan gaya orang merasa lega. (Boleh bayangkan orang rasa lega lepaskan nafas bagaimana?). Kedua, senyum dan bayangkan/imaginasikan anda telah berjaya lakukan apa yang anda mahu lakukan dengan begitu baik sekali. Perkara ini? belum berlaku tetapi ia adalah sumber keyakinan diri yang anda cipta sendiri di dalam minda. Fokuskan minda pada imaginasi ini.

Langkah terakhir,?cuba ingat gaya seseorang yang kelihatan yakin dan bersemangat. Ingat gaya mereka itu dan?tiru?gaya tersebut. Tiru juga bagaimana nada suara yang mereka gunakan. Jangan risau jika ia tidak menjadi 100% kerana ia tidak perlu. Maksud saya, tidak perlu jadi 100% untuk anda jadi yakin dan bersemangat.

Ini adalah contoh amalan untuk meningkatkan keyakinan diri menggunakan sumber keyakinan diri pertama. Kejayaan teknik ini bergantung kepada usaha dan cubaan anda. Jika selama ini anda sentiasa bermasalah dengan keyakinan diri, tidak ada ruginya kalau anda mencuba 3 langkah mudah ini kan?

Selamat mencuba.?:)

Sumber 2

Sumber keyakinan diri yang kedua ialah?sokongan daripada orang-orang yang mengenali diri kita. Jika anda sedar, kita selalu terlupa untuk melihat kepada kekuatan dan kehebatan diri kita sendiri. Apabila kita berdiri dikalangan orang-orang hebat, kita terlalu asyik memandang ke arah kehebatan orang lain dan terlupa melihat ke arah kehebatan diri sendiri. Akibatnya, kita rasa rendah diri, tidak yakin dan mula mengutuk diri sendiri. ?Kenapa la aku tak pandai macam mereka? Kenapa la aku ni lembab sangat? Kenapa la aku ni tak pandai????

Salah satu cara terbaik untuk melihat kekuatan diri kita ialah dengan mendapatkan sokongan daripada orang-orang yang mengenali diri kita seperti keluarga atau sahabat karib. Keluarga selalunya adalah orang-orang yang selalu percayakan kebolehan dan kekuatan diri kita. Namun, jika mereka tidak begitu, cari orang lain yang boleh menyokong kita.

Menyokong bukan bermaksud orang tersebut sentiasa mengatakan kita hebat. Ada masanya orang yang menyokong kita ini akan memberi komen terhadap kelemahan diri kita. Namun, kita pastu tahu bahawa komen itu adalah untuk lebih memajukan diri kita lagi. Jadi jangan ambil hati atau bersedih terhadap komen membina daripada orang yang menyokong kita ini.

Hari ini, apa kata anda senaraikan orang-orang yang anda rasa selalu menyokong anda. Senaraikan nama-nama orang yang anda rasa setiap kali anda mahu mencuba sesuatu, anda akan rasa lebih bersemangat apabila telah berbincang dengan orang-orang ini. Selamat menulis.?:)

Sumber 2.1

Sedarkah anda bahawa apabila kita merasa rendah diri, kita akan terlupa sebenarnya ada ramai orang yang menyokong kita dan ada ramai orang yang sebenarnya kagum dengan kehebatan kita.

Keyakinan diriAda masanya, kita tidak pandai dalam sesuatu bidang dan kita rasa rendah diri. Contohnya kita tidak pandai dalam bidang akademik lalu rasa rendah diri terutamanya bila berada diantara kawan-kawan yang cemerlang akademiknya. Tetapi tahukah kita bahawa kita mungkin ada kehebatan lain yang kawan-kawan kita tadi tidak ada? Mungkin kita pandai bersukan? Mungkin kita pandai berkawan atau pandai bergaya? Itu semua adalah sesuatu yang patut kita banggakan dan patut rasa yakin dengan diri kita sendiri.

Kita perlu tahu, kita mungkin tidak akan hebat dalam semua bidang. Takkanlah kita nak buat semua perkara di dunia ini. Perkara yang kita tak berapa pandai, biarkan orang lain yang buat. Bagi saya sendiri, saya rasa saya yakin dan cekap dalam teknik belajar. Tetapi bila saya balik ke rumah dan ada kerosakan elektrik, saya angkat tangan (menyerah kalah)?dan panggil juru elektrik untuk membaikinya. Perlukah saya rasa rendah diri apabila juru elektrik itu?keyakinan diridatang ke rumah saya? Perlukan saya bersedih kerana saya tidak pandai membaiki kerosakan itu sendiri? Tentu tidak bukan?

Mesejnya di sini ialah, kita ada kelebihan dan kekuatan kita tersendiri. Jangan biarkan kekuatan orang lain membuat kita rasa rendah diri. Jadi, setiap kali kita rasa rendah diri apabila melihat kehebatan orang lain, fikirkan tentang kehebatan kita sendiri. Tetapi dalam masa yang sama, buat keputusan sama ada kita mahu miliki kehebatan seperti orang tadi atau tidak. Contohnya, jika ada kawan pandai main catur dan kita tidak, jangan rasa rendah diri dan fikirkan tentang satu perkara di mana kita lebih hebat daripada kawan tadi. Kemudian, fikirkan, adakah kita mahu jadi pandai main catur? Kalau mahu, fikirkan begini, ?kalau aku belajar betul-betul permainan ni, aku pun akan jadi sehebat dia?. Insyaallah perasaan rendah diri itu tidak akan mengganggu.

Selamat meningkatkan keyakinan diri.?:)

Sumber 3

Sumber keyakinan diri yang ketiga ialah cara kita berfikir dan fokus apabila sesuatu menggugat keyakinan diri kita. Untuk mudah mengingati sumber ketiga ini, ingat 2 perkara

  1. Apabila kita rasa rendah diri dan tidak yakin, bandingkan diri kita kepada orang lain yang kurang berjaya dan yang selalu kalah dengan pencapaian diri kita.
  2. Apabila kita mahu meningkatkan semangat diri kita untuk terus berjaya, kita bandingkan diri kita dengan orang lain yang lebih hebat, lebih berjaya dan lebih bersemangat daripada kita.

Gambar hiasanPenggunaan perkara pertama adalah lebih kurang seperti cara membuat diri kita bersyukur. Apabila kita merungut tentang sekolah kita yang kurang peralatan atau kurang dewan besar, kita bandingkan sekolah kita dengan sekolah yang lebih mundur. Tentu kita akan rasa bersyukur berada di sekolah kita sekarang. Jika kita merungut tentang banyak masalah di tempat kerja kita sekarang, cuba bandingkannya dengan tempat kerja lain yang lebih teruk. Ini akan menimbulkan rasa bersyukur dan kita sepatutnya akan berhenti merungut.

Begitu juga dengan keyakinan diri, jika kita rasa lemah semangat dan hilang keyakinan diri, ingat kembali kelebihan diri kita dan bandingkan dengan orang lain yang tidak mempunyai kelebihan tersebut. Ini akan mengangkat semangat kita kembali. Saya banyak kali bertemu pelajar di sekolah berasrama penuh dan pelajar diperingkat kolej dan universiti yang mengadu lemah semangat dan tidak ada keyakinan diri. Mereka rasa mereka tidak pandai dan tidak kurang potensi untuk berjaya.

Gambar hiasanNasihat saya mudah sahaja. Tahukah pelajar ini semua bahawa di luar sana beribu-ribu lagi pelajar yang gagal memasuki asrama penuh, kolej dan universiti? Sedarkah pelajar ini semua bahawa apabila mereka berjaya berada di tempat sekarang, ia bermakna mereka lebih hebat (dalam beberapa perkara terutamanya pencapaian akademik) berbanding dengan pelajar-pelajar lain di luar sana? Tidakkah ini boleh membuat mereka merasa atau melihat kehebatan dan potensi yang sebenarnya terpendam dalam diri mereka selama ini?

Untuk hari ini, apa kata jika anda merasa rendah diri dan tidak berkebolehan, bandingkan diri anda dengan seseorang yang anda tahu anda lebih hebat daripadanya. Jika anda rasa tidak pandai, apa kata bandingkan diri?Gambar hiasananda dengan seseorang yang mungkin jauh lebih tidak pandai. Aktivti mudah ini sahaja akan meningkatkan tahap keyakinan diri anda.

Saya faham mungkin ada antara anda yang terfikir bahawa, kalau kita asyik bandingkan diri kita dengan orang kurang berjaya, sampai bila kita akan berubah? Bukankah ia akan menyebabkan kita selesa dan tidak mahu berusaha kerana sangka kita sudah hebat? Bukankah ia akan menimbulkan rasa sombong, bangga diri dan bongkak?

Jika anda terfikit begitu, tahniah. Ia menunjukkan anda benar-benar faham apa yang saya sampaikan di dalam posting ini. Saya akan menjawab persoalan itu dalam posting seterusnya dengan menerangkan tentang perkara kedua (di atas).

Sumber 3.1

Jika kita asyik membandingkan diri kita dengan orang yang kurang berjaya, tentu kita kelihatan lebih hebat bukan? Bukankah perasaan begini akan menghancurkan dan merosakkan kita di masa akan datang?

Ya, benar, jika kita terlalu bandingkan diri dengan orang yang kurang berjaya, kita akan gagal. Itulah sebabnya sumber ketiga keyakinan diri ini mengatakan bahawa anda perlu ingat 2 perkara iaitu

  1. Apabila kita rasa rendah diri dan tidak yakin, bandingkan diri kita kepada orang lain yang kurang berjaya dan yang selalu kalah dengan pencapaian diri kita.
  2. Apabila kita mahu meningkatkan semangat diri kita untuk terus berjaya, kita bandingkan diri kita dengan orang lain yang lebih hebat, lebih berjaya dan lebih bersemangat daripada kita.

Gambar hiasanTujuan kita membandingkan diri dengan orang kurang berjaya adalah sekadar untuk menaikkan semula semangat kita daripada bawah. Apabila semangat dan keyakinan diri kita jatuh ke paras terendah, tidak begitu mudah untuk kita mengangkatnya begitu sahaja. Saya dapati antara cara termudah untuk mengangkatnya semula ialah dengan membandingkan diri dengan kelemahan orang lain.

Namun, kita tidak sepatutnya berhenti di situ. Apabila semangat dan keyakinan diri kita sudah meningkat sedikit akibat aktiviti perkara pertama, kita perlu tingkatkan lagi kejayaan kita dengan membandingkan diri kita dengan orang-orang yang lebih berjaya.

Jika kita sedang lemah semangat dan tidak yakin diri, ia akan jadi lebih teruk jika kita bandingkan diri kita dengan orang-orang berjaya. Ini kerana kita akan rasa semakin jauh ketinggalan di belakang. Jadi apa kata kita naikkan dulu sedikit semangat kita. Kemudian, apabila ia sudah meningkatGambar hiasansedikit, kita pun sudah mula mampu hilangkan rasa sedih dan kecewa akibat rasa tidak yakin diri tadi, barulah kita bandingkan diri kita dengan orang-orang berjaya. Ini akan menambahkan dan meningkatkan lagi semangat dan keyakinan diri kita sendiri.

Idea mengenai sumber keyakinan diri ketiga ini sebenarnya datang apabila saya teringat kisah saya semasa di tingkatan lima.? Ketika belajar di Kolej Islam Sultan Alam Shah Klang, saya dikelilingi oleh pelajar-pelajar cemerlang. Keputusan peperiksaan bulanan saya selalunya tidak sehebat kawan-kawan saya yang lain. Ini membuat saya merasa kecil dengan kebolehan diri saya terutamanya dalam bidang akademik. Lama-kelamaan, saya seolah-olah telah?menerima kenyataan bahawa saya tidak sehebat pelajar lain. Ini adalah satu perkara yang tidak sihat untuk keyakinan diri.

Kemudian, beberapa bulan sebelum peperiksaan SPM, saya pulang ke kampung dan mengambil peluang bermalam di rumah sahabat baik saya daripada sekolah lama (SMKA Tok Jiring). Ketika bermalam di sana, selepas membuat latihan dan sedikit ulangkaji, sahabat saya ini membuka cerita kisah sekolah rendah kami (SK Tok Jiring). Sahabat saya ceritakan tentang ke mana perginya 11 orang pelajar yang berjaya mendapat 5A dulu. Masing-masing ada cerita kejayaan masing-masing. Semasa dia bercerita, saya mula sedar rupa-rupanya saya juga termasuk dalam cerita tersebut kerana saya adalah salah seorang daripada 11 pelajar tadi. Saya juga mula sedar yang saya sebenarnya datang dari kalangan pelajar cemerlang. Lebih hebat lagi, saya mula sedar yang kalau dulu saya boleh cemerlang, kenapa sekarang tidak boleh cemerlang?

Cetusan idea ini terus meningkatkan semangat diri saya untuk bersedia menghadapi peperiksaan SPM pada tahun itu. Sejak hari tersebut, apabila saya lihat sahabat lain yang cemerlang di KISAS, saya akan kenang kembali bagaimana saya cemerlang suatu masa dahulu. Dalam masa yang sama, saya tekadkan azam untuk capai kejayaan seperti beberapa pelajar cemerlang di dalam kelas saya dan kelas lain. Dua perkara ini berjaya mengekalkan semangat dan keyakinan diri saya hingga hari peperiksaan sebenar.

Saya percaya anda boleh gunakan pendekatan ini. Saya juga percaya bahawa pendekatan ini boleh digunakan oleh ibu bapa untuk meningkatkan semangat anak-anak. Bagaimana ye? Kita tunggu posting seterusnya.?:)

Sumber 3.2

Bagaimanakah ibu bapa boleh gunakan sumber keyakinan diri yang ketiga ini untuk membantu anak-anak mereka? Begini.

Keyakinan diriJika bercakap dengan anak-anak,?elakkan daripada membandingkan kebolehan anak-anak kita dengan orang lain. Contohnya, kita kata kepada anak-anak kita,

?Belajar la betul-betul. Mak tengok anak jiran sebelah tu rajin belajar, keputusan pun cemerlang. Bukan macam kau.?

?Masa abang kau dulu, tak payah suruh, dia belajar sendiri. Sebab tu dia boleh masuk universiti.?

?Anak Pak Long kau semua cemerlang. Kenapa la anak-anak abah ni tak boleh jadi macam tu?.

Keyakinan diriMembandingkan anak-anak kita dengan orang lain yang lebih cemerlang lebih banyak merosakkan daripada membantu sebenarnya. Walaupun niat kita baik untuk meningkatkan semangat mereka, ia lebih memedihkan hati dan semangat mereka kerana mesej yang mereka perolehi ialah

?Asyik aku je yang tak pandai. Asyik aku je yang bodoh. Orang lain semua pandai, semua bagus.?

Apabila anak-anak dapat mesej begini, semangat dan keyakinan diri mereka akan terus jatuh. Dibimbangi mereka akan membesar dengan pemikiran bahawa semua orang lain lebih baik daripada mereka.

Jadi, kalau mahu meningkatkan keyakinan diri anak-anak untuk kecemerlangan, ada dua langkah. Semasa berbual dengannya

  1. Imbas kembali cerita-cerita di mana anak-anak kita hebat, cemerlang, bijak dan yakin. Cerita dengan penuh keyakinan agar anak-anak kita ingat semula tentang kisah itu semua. Kesannya, kita akan lihat anak kita semakin bersemangat. Cara dia duduk juga akan berubah sedikit seperti mahu kita terus bercerita. Teruskan bercerita dengan ikhlas. (Ikhlas bermaksud tak nampak macam kita bercerita macam terpaksa atau tak bersungguh-sungguh).
  2. Apabila wajah anak-anak kita dah nampak mula bercahaya, mula berseri dan mula ceria, baru kita masukkan sedikit cerita tentang orang lain yang cemerlang. Dalam keadaan ceria, anak-anak kita akan lebih bersedia untuk menerima cerita-cerita tentang kehebatan orang lain. Kemudian katakan kepada mereka, ?Mak/abah rasa, anak-anak mak/abah lebih hebat dari mereka semua ni. Kalau belajar betul-betul sikit, tambah jadi rajin sikit, mesti tak ada orang lain boleh lawan. (Senyum dan kita mesti percaya apa yang kita katakan).

Apa kata kita cuba teknik ini bila berpeluang. Jika kita tidak cuba, kita pasti akan gunakan cara lama yang biasa kita gunakan. Jangan risau jika tidak dapat buat dengan sempurna kerana setelah mencuba, kita akan dapat beberapa idea baru bagaimana mahu melaksanakan teknik ini dengan lebih berkesan. Untuk jangka masa panjang, kita akan mula meningkatkan tahap keyakinan diri anak-anak kita sendiri tanpa bantuan orang lain. Selamat mencuba.?:)

Kesimpulan

Osman AffanAlhamdulillah. Saya telah kongsikan 3 sumber keyakinan diri untuk kita semua gunakan bagi meningkatkan tahap keyakinan diri kita. Bagi saya, tanpa keyakinan diri, kita sukar untuk melakukan sesuatu terutamanya sesuatu yang baru. Kita akan sukar untuk meletakkan matlamat kejayaan kerana kita bimbang dan tidak yakin bahawa kita boleh berjaya.

3 Sumber keyakinan diri yang telah saya kongsikan itu ialah

  1. Kejayaan dan kenangan manis di masa lalu?
  2. Sokongan daripada orang-orang yang mengenali diri kita.
  3. Cara kita berfikir dan fokus apabila sesuatu menggugat keyakinan diri kita. Untuk mudah mengingati sumber ketiga ini, ingat 2 perkara
    1. Apabila kita rasa rendah diri dan tidak yakin, bandingkan diri kita kepada orang lain yang kurang berjaya dan yang selalu kalah dengan pencapaian diri kita.
    2. Apabila kita mahu meningkatkan semangat diri kita untuk terus berjaya, kita bandingkan diri kita dengan orang lain yang lebih hebat, lebih berjaya dan lebih bersemangat daripada kita.

Insyaallah saya akan letakkan hasil tulisan ini di dalam ruangan kompilasi tips dan petua dalam masa terdekat ini. Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada kita yang membaca dan yang mencubanya.?:)

Comments are closed.