7 tanda Halangan Minda menyekat bakat terpendam.

7 tanda Halangan Minda menyekat bakat terpendam.

Di dalam program bersama pelajar dan orang dewasa, satu topik yang pasti saya kongsikan ialah topik halangan minda. Saya definisikan halangan minda ialah sesuatu yang menghalang potensi sebenar diri kita. Apa yang mengejutkan, halangan itu cuma wujud di dalam minda kita sahaja.

Halangan minda boleh dilihat seperti sekatan jalan raya. Apabila ada sekatan jalan raya, perjalanan lalu lintas menjadi perlahan dan tersekat-sekat. Satu perjalanan yang biasanya mengambil masa 10 minit mungkin memakan masa 1 atau 2 jam.
Jika bercakap dengan pelajar, halangan minda boleh membuat seseorang pelajar rasa tidak pandai, lembab, malas dan tidak ada potensi untuk berjaya. Untuk orang dewasa pula, halangan minda membuat mereka hilang keinginan untuk mencuba sesuatu yang baru terutamanya sesuatu yang selalunya mereka tidak pernah berjaya lakukan di masa lepas.
Apa yang bahaya di sini ialah, halangan minda boleh membuat anda tidak sedar tentang bakat yang terpendam di dalam diri anda selama ini. Halangan minda membuat anda percaya bahawa apa yang boleh anda lakukan hanyalah apa-apa yang sedang anda lakukan sekarang. Jika anda biasa skor C dalam peperiksaan, anda akan rasa itulah diri anda. Jika anda biasa menggeletar di hadapan khalayak ramai, begitulah juga anda definisikan diri anda.
Sayangnya, bakat dan kebolehan yang terpendam di dalam diri anda adalah sangat hebat. Saya tidak dapat gambarkannya dengan jelas betapa hebat dan besarnya bakat semula jadi yang mungkin sedang tidur lena di dalam diri anda. Sebagai contoh, saya kerap kali ditanya oleh peserta (dewasa) apabila saya menjalankan program Pembangunan Modal Insan, ‘macam mana En Osman boleh melompat daripada bidang perakaunan ke bidang training?” Mereka bertanya begini kerana 2 bidang ini adalah sangat berbeza kerana orang dalam bidang perakaunan dibayangkan sebagai orang yang pendiam, suka menyendiri, bekerja seorang diri dan sentiasa berada di depan komputer atau buku laporan kewangan dan di belakang tabir.
Selalunya saya jawab yang saya telah jumpa bakat saya yang selama ini hanya terpendam dan tersorok jauh dalam diri saya. Ini membuat saya terimbas kisah semasa saya di tingkatan lima. Ada seorang sahabat di kelas saya yang perlu bertukar sekolah. Jadi untuk peringatan terakhir, kami adakan sedikit majlis untuk beliau. Saya di minta memberi sedikit ucapan pembukaan. Saya hanya perlu berucap selama 2 minit. Kelas saya pula hanya ada seramai 18 orang, langsung tidak ramai.
Namun apa yang saya ingat, kaki dan tangan menggeletar dengan begitu kuat sekali. Kertas yang saya pegang bergoyang. Saya pegang meja untuk mengukuhkan cara saya berdiri namun sayangnya meja itu turut bergoyang ( selalu saya ceritakan kisah ini di dalam program saya sebagai satu jenaka walaupun ia merupakan satu pengalaman yang begitu meninggalkan kesan dalam hidup saya). Saya jadi semakin panik dan pucat. Akhirnya saya akhirkan juga ucapan itu walaupun saya tahu mesti ada kawan-kawan yang ketawakan saya.
Sejak itu saya terfikir, “aku memang tak ada bakat nak bercakap depan orang. Jangan harap la kalau nak kerja yang kena bagi ceramah ke atau kerja yang kena berdiri depan orang.”
Percaya atau tidak, itu hanyalah halangan minda. Halangan minda menyekat kebebasan kita berfikir. Halangan minda membuat kita percaya bahawa kita lahir dengan serba kekurangan terutamanya dari segi bakat dan kebolehan.
Bagaimana dengan anda? Adakah anda juga dibelenggu oleh halangan minda? Adakah anda hanya berani lakukan apa yang pernah dilakukan dengan jayanya sebelum ini? Adakah anda pernah rasa kewujudan bakat-bakat lain di dalam diri yang hanya menanti masa untuk dikeluarkan?
Jangan risau. Dalam masa beberapa minggu ini, saya akan bincangkan 7 tanda jika anda sedang dibelenggu oleh halangan minda. Jika anda ada tanda-tanda ini, ia bermaksud di dalam diri masih banyak lagi potensi dan kebolehan yang sedang berdengkur. Masih banyak lagi bakat yang meronta-ronta untuk keluar. Jadi, teruskan membaca. 🙂
TANDA 1
SusahMari kita mulakan dengan tanda yang pertama. Tanda yang pertama berbunyi, selalu dan suka sebut perkataan-perkataan seperti ‘susah’, ‘tak boleh’, ‘mustahil’, ‘tak masuk akal’, ‘mana mungkin’ dan sebagainya. Semua perkataan atau ayat ini menunjukkan bahawa anda tidak boleh lakukan sesuatu. Ini semua adalah perkataan atau ayat yang selalu timbul apabila halangan minda menguasai cara anda berfikir.
Saya tidak bermaksud untuk mengatakan bahawa perkataan itu semua tidak boleh disebut. Orang berjaya juga ada menyebut perkataan tersebut. Namun satu perkara yang berbeza antara orang yang berjaya dan tidak berjaya, orang berjaya sebut susah tetapi dalam hati mereka bertekad untuk mengatasi apa juga kesusahan yang sedang mereka alami itu. Orang kurang berjaya pula apabila menyebut susah, mereka lemah semangat dan mula menutup minda mereka untuk menerima apa-apa cadangan.
Saya selalu lihat pelajar yang kurang berjaya dan kurang bermotivasi menyebut perkataan-perkataan ini. Apabila diberi suatu yang baru untuk dipelajari, cepat benar mulut mereka melatah dengan perkataan-perkataan tadi. Akibatnya, mereka benar-benar sukar mahu menguasai sesuatu topik baru.
Untuk orang dewasa pula, setiap kali mereka sebut perkataan-perkataan ‘susah’ atau ‘mana mungkin’ tadi, mereka percaya sepenuh hati. Malah, kepercayaan mereka ditambah lagi dengan pengalaman buruk mereka di masa lepas. Sebagai contoh, jika mereka ditanya bolehkah mereka berucap di hadapan khalayak ramai selama 2 jam, mereka akan kata, “huh, gila ke apa?” atau “aduh…tak masuk akal”. Banyak lagi versi apa yang mereka mungkin katakan. Kata-kata ini pula disokong oleh pengalaman kegagalan mereka di masa lepas. Mungkin mereka pernah diketawakan. Mungkin mereka pernah bercakap dan tidak ada seorang pun yang memberi perhatian. Mungkin juga mereka pernah begitu berdebar hingga pitam, lupa apa hendak dikatakan atau melakukan sesuatu yang memalukan di khalayak ramai. Mereka begitu percaya bahawa pengalaman kegagalan mereka itu merupakan petunjuk kepada kebolehan diri.
SusahBagaimana dengan anda? Sekarang, apa kata anda fikirkan untuk lakukan sesuatu (sudah tentu yang baik) yang selama ini anda tidak pernah berani untuk lakukan. Mungkin anda fikir untuk menulis buku, memberi tazkirah di surau, azan di surau, berniaga, cari kerja baru, sambung belajar, bertegur sapa dengan seseorang yang anda sudah lama menaruh hati atau apa sahaja. Mungkin juga anda adalah seorang yang takut pada kegelapan dan anda terfikir untuk cabar diri anda pergi ke tempat yang sunyi dan gelap tanpa berteman seperti ke kawasan perkuburan 🙂
Apabila anda fikirkan untuk melakukan perkara tersebut, apakah perkataan-perkataan yang bermain di fikiran anda? Ia tidak semestinya sama dengan apa yang saya tuliskan tetapi adakah maksudnya sama? Jika ada perkataan-perkataan seperti yang saya gambarkan tadi timbul, ada kemungkinan minda anda sedang dibelenggu oleh halangan minda.
Bayangkan perubahan yang akan berlaku kepada diri anda jika semua perkataan dan ayat ini anda ubah kepada perkara sebaliknya. Sebagai contoh, “Mat, Kasim cuti sakit hari ni, awak ganti dia bagi ucapan pembukaan majlis perpisahan nanti boleh?”
Jika selalu anda jawab tidak boleh atau sibuk cari alasan, apa kata anda tukar kepada ‘Boleh, tak ada masalah. Berapa lama nak kena berucap? Sejam? Dua jam? Apa agaknya perubahan yang bakal berlaku?
Mulai hari ini juga, apa kata anda perhatikan dan dengar dengan teliti setiap perkataan dan ayat yang keluar daripada mulut anda. Setiap kali anda kata susah, cuba bayangkan yang ada seketul batu yang besar sedang menghalang cara anda berfikir. Bayangkan juga selagi batu itu ada di situ, apa-apa pencapaian anda sekarang akan kekal begitu sehingga ke akhir hayat anda, tidak ada peningkatan.
TANDA 1.1
Sudahkah difikirkan perkataan-perkataan dan ayat yang biasa anda sebut setiap hari? Seperti yang saya gambarkan dalam posting lepas, perkataan-perkataan itu adalah gambaran kepada halangan minda yang sedang menyekat potensi sebenar dan bakat kita yang selama ini terpendam. Dapatkah anda mula rasakan apakah bakat yang terpendam dalam diri jika anda berhenti menyebut perkataan-perkataan susah dan tak boleh?
Banyak ketikanya, orang yang mempunyai banyak halangan minda tidak menyebut perkataan susah atau tidak boleh. Tetapi……… ya…. tetapi……. mereka banyak menggunakan perkataan ‘TETAPI“.
“Boleh tak awak skor A?” “Boleh….. tapi…..susah sikit la…. tahun ni kementerian pelajaran nak kurangkan orang dapat gred A”.
“Awak baca doa penutup ya…” “Boleh, tak ada masalah…. tapi hari ni tekak saya sakit sikit. Nak kena kurangkan bercakap. Suruh orang lain dulu la ye.”
Tolak“Kami nak lantik awak jadi presiden, setuju tak?” “Hmmm… jadi presiden tu tak ada masalah….. tapi….bagi la peluang pada orang lain…lagi pun saya sibuk sekarang ni….”
“Bila awak nak tulis buku?” “Memang nak tulis…tapi…. ekonomi sekarang tak berapa bagus..orang tak nak beli buku sangat sebenarnya…. jadi kena tunggu la ekonomi elok sikit, baru bagus tulis buku.”
“Dulu awak kata nak mula berniaga, nak bebas kerja sendiri, bila nak mula?” “Hihi… saya dah nak mula dah hari tu, siap dah tulis surat berhenti kerja lagi… tapi…. kesian la kat bos saya…. kalau saya takde nanti, mesti banyak kerja tak siap. Siapa nak tolong dia?”
Alasan memang mudah dicari. Semakin banyak alasan yang kita temui, semakin jauh bakat dan kebolehan sebenar kita terpendam dan tersorok di dalam diri. Apa yang membimbangkan ialah setiap kali kita ulang perkataan-perkataan halangan minda, semakin kuat kita percaya kepada apa yang kita katakan. Akibatnya, satu hari nanti bakat-bakat dan kebolehan yang terpendam itu semua mungkin tidak akan keluar lagi hingga ke akhir hayat. Alangkah ruginya…..
TANDA 2
gagalTanda kedua halangan minda mungkin sedang menyekat bakat terpendam anda ialah apabila anda ‘lebih suka mengenang kegagalan yang lalu’.
Banyak perkara yang boleh memenuhi fikiran anda. Anda boleh fikirkan tentang apa yang berlaku sekarang, pada masa lepas atau apa yang bakal berlaku suatu hari nanti. Namun, jika fikiran anda disekat oleh halangan minda, anda akan sentiasa terkenangkan kegagalan anda di masa lepas.
Contohnya, jika anda orang dewasa dan sudah kerja beberapa ketika. Kemudian anda terfikir untuk sambung belajar. Disebabkan halangan minda menguasai cara anda berfikir, anda akan sentiasa terkenang saat-saat kegagalan atau kesusahan semasa anda belajar di bangku sekolah dulu. Mungkin anda terkenang yang anda lemah dalam beberapa subjek. Mungkin anda terkenang yang anda mudah lupa. Mungkin juga anda terkenang yang anda susah untuk faham sesuatu. Akibatnya, keputusan peperiksaan anda dulu kurang memuaskan.
gagalAnda perlu ingat, kegagalan di masa lepas bukanlah petanda kepada kebolehan diri anda. Ia cuma menunjukkan ada sesuatu yang anda lakukan di masa lepas tidak betul dan tidak kena caranya. Mungkin dulu anda tidak pernah tahu tentang teknik belajar berkesan. Mungkin dulu anda tidak ada pembimbing. Apa yang bahayanya di sini ialah, disebabkan anda asyik terkenangkan kegagalan lepas, anda jadi takut, bimbang dan mungkin buat keputusan untuk menangguhkan usaha menyambung pelajaran.
Cuba tanya diri anda hari ini. Jika anda mahu lakukan sesuatu yang baru hari ini, adakah anda akan terlebih dahulu mengenang kegagalan di masa lepas atau anda akan kenang dahulu kejayaan di masa lepas?
Satu perkara yang saya belajar daripada buku-buku dan audio oleh Brian Tracy, “Jika kita asyik mengenang kegagalan lepas, ia pasti akan berulang“. Contohnya, katakan anda beri ucapan di khalayak ramai. Selepas habis ucapan, anda pulang dan mungkin rasa kecewa kerana ada beberapa kesilapan yang anda lakukan. Mungkin anda ada terlupa apa yang hendak dikatakan dan tergagap-gagap semasa berucap. Akibatnya, anda asyik terfikir, “kenapalah aku lupa tadi?”, “Aduh, aku ni asyik tergagap je.” atau “malunya orang ketawakan aku tadi.”
GagalMalangnya, jika itu yang anda ulang dan ulang di dalam minda, ia pasti akan terjadi semula. Maksudnya, apabila anda mahu berucap semula nanti, kesilapan yang sama pasti akan berulang. Apa yang perlu anda lakukan ialah anda perlu ‘review success, not failure’. Maksudnya, ingat semula kejayaan yang telah anda lakukan semasa berucap tadi. Wujudkan rasa seronok dalam diri disebabkan kejayaan tersebut. Bayangkan juga bahawa ia akan berulang dalam ucapan akan datang. Kemudian, barulah fikirkan bagaimana anda boleh baiki beberapa kelemahan yang anda dalam ucapan tadi. Dengan cara ini, semangat anda tidak akan jatuh dan halangan minda tidak akan menguasai diri dan minda anda.
TANDA 2.1

TermenungAdakah anda suka berangan atau berkhayal? Kebanyakan orang dewasa mengatakan mereka tidak suka berangan atau berkhayal. Membuang masa kata mereka. Benar, berangan boleh jadi satu aktiviti yang membuang masa.
Namun, saya percaya anda pernah duduk sendirian sama ada sedang menunggu sesuatu atau ketika anda tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Mungkin juga anda sendirian sementara menunggu mata anda terlelap di atas katil. Ketika itu, apakah perkara-perkara yang sering bermain di fikiran anda? Adakah anda memikirkan tentang perkara SEKARANG seperti masalah atau cabaran yang yang anda hadapi kini. Atau anda fikirkan tentang MASA HADAPAN seperti apa yang mahu anda capai satu hari nanti. Atau mungkin juga anda fikirkan tentang MASA LEPAS seperti mengenang kejayaan atau kegagalan di masa lepas.
Mulai hari ini, cuba SEDAR apa yang sering bermain di fikiran anda. Jika anda sedar bahawa anda sering mengelamun tentang masalah, cabaran, kesukaran dan keperitan hidup, besar kemungkinannya minda anda sedang dipenuhi halangan minda. Akibatnya, anda mungkin jadi terlalu berhati-hati dan tidak ada keinginan untuk mencuba sesuatu yang tidak pernah anda lakukan.
Tidak salah untuk berhati-hati. Namun bahayanya ialah jika satu hari nanti anda dihidangkan dengan satu peluang untuk merubah nasib dan cara hidup anda, anda jadi takut dan tidak berani mencuba. Sebagai contoh, setelah lama bekerja, anda ditawarkan naik pangkat tetapi cabarannya amat besar. Disebabkan terlalu berhati-hati dan selalu memikirkan tentang kegagalan di masa lepas, anda tolak peluang tersebut.
Mungkin juga anda sudah bosan kerja makan gaji. Anda teringin sangat untuk bekerja sendiri dan bebas lakukan apa yang anda ingin lakukan. Namun, anda sentiasa terbayang kegagalan berniaga di masa lepas. Anda asyik teringat cerita-cerita tentang usahawan yang gagal dan tidak cukup duit untuk makan. Lebih buruk lagi, anda asyiik teringat tentang statistik mengatakan bahawa 9 daripada 10 perniagaan baru gagal dalam tahun pertama. Akibatnya, anda kekal makan gaji. Anda pujuk hati anda yang makan gaji itu adalah selamat dan sesuai untuk orang yang kurang berbakat seperti anda. Persoalannya, benarkah anda tidak berbakat? Benarkah anda akan gagal jika anda mencuba sesuatu yang baru?
TermenungSaya suka berangan. Ketika bersendirian saya suka imbas kembali kejayaan-kejayaan yang pernah saya kecapi di masa lepas. Dulu saya sangka ini adalah satu tabiat buruk kerana saya seperti tidak mahu lepaskan kenangan-kenangan indah di masa lepas. Saya malu hendak ceritakan kepada sesiapa yang saya suka kenang zaman kegemilangan saya di waktu persekolahan seperti memenangi pertandingan, mewakili sekolah, kolej dan universiti dan kejayaan seperti mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang. Setelah banyak buku yang saya baca mengenai keyakinan diri dan kejayaan, saya dapati tabiat itu semua tidaklah teruk seperti yang saya sangkakan.
Malah ada banyak buku yang saya baca tentang keyakinan diri mengatakan bahawa setiap kali kita berangan-angan dan mengimbas kejayaan lepas, semakin tinggi tahap keyakinan diri kita meningkat.
Jadi, apa kata hari ini anda luangkan sedikit masa untuk berangan-angan. Imbas kembali kejayaan dan kenangan manis yang pernah anda alami. Jika anda sudah berumahtangga, imbas kembali saat-saat anda bercinta dan kenangan indah sewaktu baru berumahtangga. Sebelum tidur, kenang kembali semua kejayaan dan kenangan yang menyeronokkan satu masa dulu. Jika anda sudah bosan bekerja, cuba imbas kembali keseronokan yang anda rasa semasa mula-mula bekerja dulu. Saya percaya, banyak keajaiban yang akan menyusul jika ini dijadikan satu tabiat yang berpanjangan.
Selamat berangan-angan. 🙂
TANDA 3
Tanda ketiga halangan minda sedang menyekat bakat terpendam di dalam diri ialah apabila kita ‘mudah terima’ pendapat orang lain tentang kebolehan diri sendiri.
Sebagai contohnya, katakan anda mahu memasuki catur. Kemudian anda ceritakan kepada beberapa orang kawan. Salah seorang kawan anda itu berkata, “Kau boleh ke main catur? Aku tengok cara kau main tak berapa cekap sangat, banyak lagi kelemahan. Kena ada bakat kalau nak menang main catur ni.”
Akibatnya, anda mula terima pandangan tersebut. Anda terima idea yang mengatakan bahawa anda tidak ada bakat. Padahal anda berbakat. Akhirnya, anda mungkin menarik diri daripada menyertai pertandingan tersebut.
Saya ingin berkongsi dengan anda tentang satu perkara. Kebanyakan orang di sekeliling kita tidak tahu apa bakat dan kebolehan yang ada di dalam diri kita. Mereka selalunya akan memberi komen dan pendapat berdasarkan bakat dan kebolehan mereka. Jika mereka tidak pandai berucap, mereka juga sangka kita tidak pandai berucap. Jika mereka tidak ada cita-cita, mereka akan rasa pelik yang amat sangat apabila tiba-tiba kita ceritakan tentang cita-cita kita.
Jadi kalau kita terlalu mudah menerima pendapat orang tanpa berfikir sendiri dan mencuba, kita akan kekal dalam keadaan sekarang selama-lamanya. Seingat-ingat saya, seumur hidup ini, sudah terlalu banyak saya dengar kata-kata yang mengatakan saya tidak boleh buat itu dan ini. Sebagai contoh, ketika di tingkatan satu, saya masuk Persatuan Silat Seni Gayung Malaysia. Badan saya agak besar berbanding kawan-kawan lain. Jadi ada seorang jurulatih yang berkata kepada saya, “kau ni kalau main silat, mesti nampak macam robot nanti” sambil ketawa. Memang perangai saya, kalau orang ketawa, saya ikut sahaja ketawa.
Kemudian, Silat Seni Gayung ini banyak aktiviti lompat melompat. Melompat melintasi halangan dan juga lompatan-lompatan seperti orang bersukan ‘gymnastic’ ke depan dan ke belakang. Sekali lagi saya dengar bermacam-macam komen tentang diri saya. Ada yang kata kalau saya jatuh bumi akan bergegar. Ada yang tersenyum melihat saya melompat. Tetapi mungkin disebabkan minat dan sifat degil dalam diri, saya tak berapa kisah apa mereka kata. Saya terus juga belajar dan berlatih apa yang ditunjukkan oleh jurulatih.
Hasilnya, pada akhir tahun, semasa ujian kenaikan tali pinggang, saya berjaya mendapat markah tertinggi. Malah, saya seorang sahaja di antara sahabat-sahabat saya itu yang berjaya menguasai teknik lompatan ke belakang (back-handspring & back-summersault). Namun ia tidaklah sehebat ahli gymnastic professional. 🙂 Sejak itu, saya tidak dengar lagi apa-apa komen tentang kebolehan dan potensi diri saya dalam persatuan tersebut.
Apa yang saya benar-benar faham di sini, hanya kita yang tahu bakat, potensi dan kebolehan yang terpendam di dalam diri kita sendiri. Jadi adalah satu idea yang baik kalau kita jangan mudah terima kalau orang kata kita lemah, tidak ada bakat, tidak ada masa depan dan sebagainya.
TANDA 4
Tanda keempat yang perlu kita bincangkan ialah ‘terlalu sayangkan bantal busuk’. Saya percaya anda faham dengan maksud bantal busuk. Kita biasa lihat kanak-kanak kecil yang tidur dengan satu bantal kegemarannya. Bantal itu mungkin sudah lusuh, buruk dan berbau kerana sudah terlalu lama digunakan tetapi kanak-kanak ini masih perlukannya untuk tidur. Malah, bantal ini perlu dibawa oleh ibu bapa ke mana-mana sahaja supaya tidak timbul masalah semasa kanak-kanak ini mahu tidur nanti.
Dalam situasi orang dewasa, kita juga ada bantal busuk kita yang tersendiri. Bantal busuk yang dimaksudkan ialah cara pemikiran dan cara kita melakukan sesuatu. Cara pemikiran dan melakukan sesuatu ini pula ialah cara yang LAMA. Tentu anda pernah lihat seseorang yang langsung tidak mahu berubah. Jika pelajar, mereka masih tidak mahu ubah cara mereka membuat nota. Jadi mereka asyik menggunakan cara menulis nota semasa berada di sekolah rendah atau menengah. Kalau cara itu berkesan tidak mengapa, tetapi jika tidak, mereka masih terlalu sayang untuk meninggalkannya. Jika ini berkesan, pelajar ini tidak akan dapat mencari bakat sebenarnya dalam belajar dan mungkin hadapi kesukaran untuk menjadi pelajar cemerlang.
Untuk orang dewasa pula, ramai yang terlalu sayangkan cara lama melakukan sesuatu. Sebagai contoh, jika mereka sudah biasa berucap dengan panjang dan dengan nada yang membosankan, mereka sayangkan cara itu dan langsung tidak mahu berubah. Mereka tidak mahu berubah walaupun dia sedar bahawa lebih separuh pendengar tidur dan tidak mempedulikan ucapannya. Jika ini berterusan, orang dewasa ini tidak akan dapat mengeluarkan bakat sebenarnya dalam menarik perhatian orang ramai untuk mendengar ucapannya.
Ada juga orang dewasa yang terlalu suka bekerja sendirian. Sebabnya selama ini dia berjaya semasa bekerja sendirian. Namun apabila dia cuba untuk berjaya dengan lebih besar lagi, masih digunakan cara lama iaitu bekerja sendirian. Dia terlalu sayangkan cara bekerja sendirian hingga dia tidak mampu melihat kelebihan jika bekerja secara berkumpulan. Akibatnya, bakat terpendamnya untuk mencapai kejayaan yang jauh lebih besar akan terus terpendam selama-lamanya.
Hari ini, apa kata kita berfikir bersama-sama sejenak. Apakah kita juga terlalu sayangkan bantal busuk kita? Apakah kita masih memeluk bantal itu sedangkan kita sedar ia tidak cantik dipandang dan tidak sedap baunya di sisi orang-orang disekeliling? Jika ada masa, apa kata kita senaraikan beberapa perkara yang kita lakukan yang masih menggunakan cara lama. Harapannya, jika kita sudah mula sedar bahawa cara lama ini adalah hanya bantal busuk kita, kita mungkin akan timbul keinginan untuk memiliki bantal yang baru, cantik dan wangi pula. Selamat memeluk bantal baru! 🙂
TANDA 5
Tanda kelima yang perlu diperhatikan ialah “Perasaan TAKUT GAGAL lebih besar daripada KEINGINAN untuk BERJAYA.” Jika anda mahu lakukan sesuatu yang baru, yang mana lebih mendorong kelakuan anda, potensi untuk gagal dan kecewa atau potensi untuk berseronok apabila sudah berjaya?
Saya berikan contoh. Jika anda seorang pelajar, hari ini anda terlintas di hati untuk jadi seorang pelajar terbaik dan skor A dalam semua subjek yang anda ambil. Yang mana lebih mempengaruhi anda, potensi untuk berjaya dan merasa bangga atau potensi untuk gagal dan kecewa akibat tidak berjaya mencapai matlamat tersebut?
Jika anda sedang bekerja dan bercita-cita mahu memulakan perniagaan, yang mana lebih mempengaruhi anda, kemungkinan untuk berjaya, kaya, hidup senang dan bebas atau kemungkinan gagal, muflis dan malu dan diketawakan sahabat handai dan saudara mara?
Ada satu pendapat besar dalam kajian psikologi yang mengatakan bahawa motivasi manusia terbina sama ada daripada keinginan untuk mencapai sesuatu yang menyeronokkan dan menggembirakan(moving towards pleasure) atau keinginan untuk lari daripada sesuatu yang menyakitkan (moving away from pain).
Menurut pemerhatian dan pembacaan saya, orang-orang yang berjaya mengeluarkan potensi diri mereka begitu fokus kepada sesuatu yang bakal menggembirakan mereka. Maksudnya, jika mereka mahu capai sesuatu, minda mereka akan sentiasa fokus kepada gambaran di mana mereka gembira dan seronok kerana telah mencapai matlamat tersebut. Walaupun mereka sedang gagal dan belum mencapai matlamat tersebut, mereka tidak berganjak dan tidak berputus asa dengan keputusan untuk mencapai matlamat tadi. Hasilnya, mereka mampu keluarkan semua bakat dan potensi yang terpendam di dalam diri mereka.
Berbeza dengan orang kurang berjaya. Mereka mudah ditakutkan dengan kegagalan. Mereka gagal sekali dua, terus mereka kata mereka tidak berbakat. Terus mereka kata dunia ini tidak adil. Terus mereka seolah-olah menyalahkan takdir kerana mereka lahir kurang berbakat dan berkebolehan seperti orang lain.
Hakikatnya, mereka belum cukup mencuba dan belum cukup menempuh kegagalan. Orang berjaya juga gagal tetapi mereka tidak pandang itu semua sebagai kegagalan. Mereka faham bahawa gagal itu adalah satu proses pembelajaran, sama seperti kita selalu jatuh semasa mula-mula belajar berjalan dulu.
Jadi hari ini apa kata kita kaji tentang diri kita. Apabila hendak melakukan sesuatu yang bakal merubah hidup kita )ke arah kebaikan) adakah kita lebih mudah ditakutkan dengan kegagalan atau kita lebih mudah teruja dengan kemungkinan untuk mencapai kejayaan? Jika kita lebih mudah mudah ditakutkan dengan kegagalan, besar kemungkinan segala bakat yang terpendam di dalam diri kita akan kekal terpendam buat selama-lamanya.
TANDA 6
Benci lihat orang berjayaTanda keenam ada halangan minda menyekat bakat anda yang terpendam ialah ‘sakit hati melihat orang berjaya’. Selalunya ada sedikit kekeliruan di sini. Salahkah kalau kita sakit hati melihat orang berjaya tetapi dalam masa sama kita mahu juga berusaha untuk berjaya?
Jika kita sakit hati tetapi berusaha untuk berjaya, biasanya ini dinamakan rasa ‘cemburu’ melihat kejayaan orang lain. Apa yang bagusnya, rasa cemburu ini tidak membuat kita membenci orang berjaya itu malah menyanjungi mereka. Akibatnya, kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan yang sama.
Maksud tanda keenam ini ialah lebih kepada perasaan sakit hati terhadap orang berjaya hingga timbul rasa benci dan wujud keinginan untuk buruk sangka kepada orang-orang tersebut. Sebagai contoh, apabila kita lihat orang kaya yang berjaya dalam perniagaan, timbul rasa menyampah melihat kekayaan orang itu dan kita mula menuduh orang itu dengan tuduhan bukan-bukan seperti
Dipulaukan“Kaya macam ni, mesti banyak menipu orang ni!” atau “Kaya dengan rasuah agaknya ni.” atau “Kaya sangat ni, dia jual dadah kot” atau “Entah bayar zakat ke tidak orang macam ni.” dan sebagainya.
Jika kita lihat pelajar berjaya pula, kita mungkin timbul rasa benci dan menyangka pelajar ini meniru, anak emas cikgu atau tidak sengaja cemerlang.
Jika kita lihat rakan sekerja cemerlang, kita mungkin rasa sakit hati dan menuduh sebab kejayaan mereka ialah mereka suka bodek boss.
Ada satu perkara yang perlu kita ingat ialah, jika kita benci orang berjaya dan menuduh mereka dengan tuduhan bukan-bukan, kita tidak akan mengecapi kejayaan yang sama. Ini bermaksud, jika kita benci usahawan berjaya, kita tidak mungkin menjadi usahawan yang berjaya. Mengapa?
Ini ada kena mengenai dengan minda separuh sedar kita. Minda separuh sedar banyak mengawal tindakan kita dalam mencapai sesuatu. Sebagai contoh, jika minda separa sedar kita percaya bahawa kita bodoh dalam belajar subjek Matematik, kita tidak akan berjaya skor A dalam subjek tersebut walau apa pun cara yang kita lakukan. selagi minda separa sedar percaya begitu, berterusanlah kita tidak cemerlang dalam subjek tersebut.
Perumpamaan mudah untuk memahami mengapa kalau kita benci orang berjaya kita tidak akan mengecapi kejayaan mereka ialah, jika kita benci pencuri, adakah kita mahu menjadi seperti mereka? Jika kita benci pembunuh, adakah kita mahu jadi seperti mereka?
Sama juga, apabila kita benci orang yang berjaya, kita sedang beritahu minda separa sedar kita bahawa kejayaan adalah sesuatu yang tidak baik. Nanti kalau berjaya orang lain pula akan benci kita. Akibatnya, kita sendiri tidak akan kecapi kejayaan. Akhirnya, semua bakat terpendam dalam diri kita untuk berjaya akan terus terpendam buat selama-lamanya.
TANDA 6.1
Tanda keenam ini kadangkala benar-benar membimbangkan saya. Budaya sakit hati kepada orang berjaya bukan sahaja ada dikalangan kita rakyat Malaysia, malah ada di mana-mana negara di dunia. Di negara barat contohnya, jika ada seseorang tokoh yang berjaya sama ada dalam bidang akademik, hiburan, politik atau bidang apa sahaja, pasti akan ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mencari jalan untuk menjatuhkan tokoh tersebut. Apa yang menyedihkan, dalam usaha tersebut, cerita yang tidak ada juga diada-adakan.
Tanda keenam ini patut kita hindari. Jadi kita perlu periksa sama ada kita juga ada halangan minda ini. Caranya? Begini. Tenangkan fikiran seketika. Jangan berfikir tentang apa-apa. Kemudian, cuba ingat kembali, selalunya, jika anda mendengar kisah kejayaan tentang seseorang, apakah perkara pertama yang terlintas di dalam minda anda? Adakah anda akan terfikir tentang sesuatu yang tidak baik atau terfikir tentang sesuatu yang baik?
Sebagai contoh, anda terjumpa seorang sahabat sekolah lama. Semasa di sekolah dulu, sahabat ini sangat lemah pencapaian akademiknya dan tidak pernah mendapat apa-apa kejayaan sama ada dalam akademik, persatuan atau sukan sekolah. Malah, anda pun hampir terlupa yang sahabat ini wujud.
Namun, kini dia mempunyai satu perniagaan besar. Dia memandu kereta mewah dan memiliki rumah dan harta yang amat banyak. Ia kelihatan seperti tidak munasabah seseorang boleh mengumpul harta sebegitu banyak dalam masa yang begitu singkat. Jika ini berlaku, apakah yang akan terlintas di fikiran anda? Fikiran anda akan lebih cenderung kepada perkara negatif atau positif?
Jika fikiran anda cenderung ke arah positif, tahniah! Anda akan rasa gembira atas kejayaan sahabat anda ini dan tanpa rasa segan anda akan mahu bertanya rahsia kejayaan beliau. Hasilnya anda akan mula menanamkan cita-cita atau keinginan untuk berjaya seperti sahabat ini. Namun jika anda cenderung ke arah negatif, anda mula terfikir perkara-perkara tidak baik yang mungkin dilakukan oleh sahabat ini yang menyebabkan dia berjaya. Akibatnya, anda tidak terlintas untuk belajar sesuatu daripada sahabat ini.
Saya sendiri suka melihat tabiat beberapa orang sahabat yang saya definisikan sebagai berjaya. Saya lihat mereka suka membaca kisah-kisah kejayaan. Bukan itu sahaja, jika mereka jumpa orang berjaya yang lain, mereka akan kelihatan Baca kisah orang berjayabegitu teruja untuk bertanya tentang rahsia dan tips kejayaan. Apa yang hebatnya ialah orang-orang berjaya selalunya tidak lokek untuk berkongsi rahsia kejayaan dengan orang lain. Rahsia kejayaan ini pula mampu mengeluarkan bakat-bakat kita yang selama ini terpendam.
Jadi dengan pengetahuan mengenai tanda keenam ini, apa yang dicadangkan untuk kita lakukan ialah beberapa perkara:

  • Baca lebih banyak mengenai orang-orang berjaya.
  • Wujudkan rasa gembira dalam hati apabila melihat kejayaan orang lain.
  • Wujudkan rasa keinginan untuk mengecapi kejayaan yang sama.
  • Buka mulut untuk bertanya rahsia kejayaan seseorang dan dengar rahsia tersebut dengan hati yang terbuka.

Apa kata kita mulakan hari ini? 🙂

Comments are closed.