Tips dan Teknik Menetapkan Matlamat

(Seperti yang telah diterbitkan oleh Akhbar Sinar Harian)

Makluman: Hasil tulisan ini adalah petikan daripada hasil tulisan saya dalam akhbar Sinar Harian. Ia tidak diubah semula. Jadi tidak perlu rasa hairan jika ada ayat yang mengatakan ia akan disambung minggu depan kerana saya akan paparkan semua siri tulisan ini di sini.

Pembuka kata

Kejayaan bermula dengan menetapkan matlamat

Tahun 2007 sudah bermula. Biasanya, pada awal tahun, orang ramai sibuk bercerita tentang azam baru. Mereka sibuk bercerita tentang apa yang mereka mahu capai dalam tahun baru ini dan apa perubahan yang mahu mereka lakukan.

Tetapi, tidak ramai pula yang bercerita tentang azam mereka tahun lalu. Adakah azam mereka tahun lalu telah tercapai? Jika mereka ada 10 azam yang ingin dicapai tahun lalu, berapa banyakkah yang telah tercapai?

Cerita saya hari ini ada kena mengena dengan azam. Cuma ada sedikit perbezaan. Selama ini saya lihat orang ramai kaitkan azam dengan sesuatu yang perlu dilakukan pada awal tahun. Kemudian, azam itu akan dilupakan. Malah, ia jarang diusahakan. Jadi, saya tidak akan gunakan perkataan azam itu. Saya akan gantikan perkataan azam itu dengan perkataan matlamat.

Apa maksud matlamat?

Matlamat secara ringkasnya bermaksud sesuatu yang ingin anda capai. Selalunya, ia akan melibatkan penggunaan masa dan usaha yang bersungguh-sungguh. Sebenarnya, anda menggunakan matlamat setiap hari. Contohnya, anda ingin pergi ke kedai untuk membeli gula. Jadi, gula itu adalah matlamat anda pergi ke kedai. Anda hendak pergi ke padang untuk bermain bola. Jadi bermain bola adalah matlamat anda pergi ke padang. Senang bukan?

Contoh di atas itu adalah contoh matlamat yang mudah. Anda tidak perlu berfikir panjang untuk menetapkan matlamat tersebut. Anda juga tidak perlu bersusah payah untuk mencapai matlamat anda. Jika matlamat anda adalah membeli gula di kedai, anda cuma perlu pergi ke kedai, beli gula dan pulang ke rumah. Mudah sahaja matlamat itu terlaksana.

Bagaimana jika anda ubah sedikit matlamat anda di atas. Katakan, anda ingin pergi ke kedai, beli gula dan pulang ke rumah dalam masa 10 minit. Selalunya anda perlu mengambil masa selama 20 minit. Tentu matlamat ini akan jadi lebih mencabar bukan? Apa yang perlu anda lakukan untuk mencapai matlamat baru ini?

Jelas sekali, anda tentu perlu fikirkan berapa lama masa yang anda boleh jimatkan dalam perjalanan. Kalau selama ini anda berjalan, perlukah anda berlari? Anda juga perlu fikirkan tentang menjimatkan masa semasa membeli gula itu. Kalau selama ini anda suka meronda-ronda, berjalan-jalan dan membuang masa memerhatikan barang-barang yang anda tidak perlukan, perlukah anda hentikan semua itu dan terus dapatkan gula apabila anda sampai?

Semua persoalan baru yang timbul ini adalah disebabkan anda mempunyai matlamat yang lebih jelas dan lebih menarik. Matlamat ini semua memerlukan anda untuk berfikir dengan lebih kreatif. Anda juga perlu bersedia untuk membuat perubahan dan sanggup berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh.

Apakah faedahnya semua ini?

Mudah sahaja. Jika anda pulang 10 minit lebih awal dari kedai, mungkin anda dapat menonton cerita kegemaran anda di television. Anda juga mungkin mempunyai banyak masa untuk buat kerja-kerja lain. Semua faedah ini akan ditentukan oleh anda sendiri. Anda boleh memilih faedah apa yang anda inginkan daripada matlamat anda nanti.

Jadi sebagai permulaan, saya mahu anda faham bahawa matlamat ialah sesuatu yang anda ingin capai. Apa agaknya yang anda ingin capai dalam tahun 2007 ini? Pernahkah anda terfikir tentang soalan ini? Saya akan ceritakan lagi tentang matlamat ini dalam sesi motivasi diri minggu depan.

Artikel #1

Menetapkan matlamat dengan memandang ke hadapan

Minggu lepas, saya ada soal anda tentang apa yang ingin anda capai dalam tahun 2007 ini. Sudahkah anda fikirkan apa jawapannya?

Mungkin ada antara anda yang mahu mendapat 8A dalam peperiksaan PMR atau 10 A dalam peperiksaan SPM. Ada juga antara anda yang mahu memenangi pertandingan sukan atau mahu mewakili sekolah anda dalam apa jua acara dan bidang pilihan anda.

Walau apa pun yang anda ingin capai, anda perlu pastikan ia sesuai dengan apa yang anda mahu capai di masa akan datang. Pernahkah anda terfikir di mana anda akan berada 5 hingga ke 10 tahun akan datang?

Menetapkan matlamat bermula dengan anda melihat ke hadapan. Anda lihat diri anda beberapa tahun ke hadapan dan bayangkan apa sebenarnya yang anda mahu capai. Sebenarnya, tidak ada halangan untuk anda mencapai apa sahaja yang anda inginkan.

Cuma, pastikan apa yang anda ingin capai itu bukan sesuatu yang salah di sisi undang-undang atau batasan agama. Contohnya, janganlah anda bercita-cita hendak menjadi perompak atau pencuri professional pula. J

Fikirkan, jika anda sekarang berumur 15 tahun, apa yang ingin anda capai bila anda berusia 20 tahun dan apa yang mahu anda capai bila anda berusia 25 tahun? Begitu juga jika anda sekarang berusia 13,14,16,17………. apakah yang ingin anda capai dalam 5 ke 10 tahun akan datang?

Jika 10 tahun akan datang anda bercita-cita menjadi mekanik paling hebat di daerah anda, tentu anda tahu yang anda patut mula belajar sesuatu tentang kerja mekanik mulai sekarang. Jika anda mahu menjadi seorang tukang masak professional 10 tahun akan datang, tentu anda sedar bahawa anda perlu belajar kemahiran memasak itu bermula sekarang.

Tambahan lagi, bila anda mahu jadi mekanik atau tukang masak hebat, anda juga perlu pandai menggunakan bahasa selain Bahasa Melayu, terutamanya Bahasa Inggeris. Bahasa ini akan membantu anda belajar dengan lebih banyak tentang bidang anda kerana banyak bahan bacaan dan bahan pendidikan tertulis dalam Bahasa Inggeris. Jadi, anda perlu tingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris sekarang.

Dengan melihat ke hadapan, anda akan dapat rasakan betapa seronoknya jika matlamat dan impian anda itu tercapai. Anda akan jadi lebih bersemangat untuk berusaha sekarang. Persoalannya, ada antara pelajar yang mengatakan bahawa, cita-cita mereka pada masa akan datang tidak ada kena mengena dengan apa yang mereka pelajari di sekolah sekarang.

Jadi, mengapa perlu mereka membuang masa di sekolah? Contohnya, jika mereka mahu menjadi mekanik, apa gunanya mereka belajar sejarah dan geografi? Jika mereka mahu menjadi seorang peniaga makanan, mengapa perlu mereka belajar subjek muzik atau sastera? Pernahkah anda terfikir begini?

Mari saya kongsikan pengalaman saya sendiri. Semasa saya ditingkatan 1 hingga tingkatan 3, saya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Jiring. Di sekolah ini, saya pelajari banyak subjek termasuk subjek Bahasa Arab. Di tingkatan 4 dan 5 pula, saya bersekolah di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) di Klang.

Di sini, saya pelajari 10 subjek termasuk Bahasa Arab dan beberapa subjek Agama Khas. Persoalannya, adakah saya mahu menjadi seorang Ustaz kerana saya pelajari banyak subjek Agama? Tentu tidak bukan?

Saya sambung pula pelajaran dalam bidang Perakaunan dan Kewangan di United Kingdom. Setelah habis belajar, saya bekerja dalam bidang perakaunan selama 3 tiga tahun dan kemudian menyambung pelajaran dalam Ijazah Sarjana khusus dalam Bimbingan dan Kaunseling. Kini, saya merupakan seorang pelatih pakar dalam bidang Motivasi dan Kemahiran Belajar.

Soalan saya kepada anda, adakah subjek Agama dan Bahasa Arab yang saya pelajari dulu sia-sia kerana saya tidak jadi seorang Ustaz? Adakah subjek perakaunan yang saya pelajari dulu sia-sia kerana saya tidak menjadi seorang akauntan?

Sudah tentu tidak sia-sia. Semua ilmu yang saya pelajari dulu masih lagi membantu saya dalam menjalani kehidupan saya kini. Ilmu-ilmu itu semua meluaskan pengetahuan saya kerana walaupun saya sekarang bekerja dalam bidang motivasi dan kemahiran belajar, saya juga mempunyai pengetahuan dalam bidang Agama dan juga perakaunan. Ini memberikan saya satu kelebihan yang tersendiri.

Hari Selasa depan, Insyaallah kita akan bercerita lagi tentang matlamat dan bagaimana caranya untuk anda berusaha dan mencapai apa yang anda inginkan dalam hidup.

Artikel #2

Matlamat bermula dengan menuliskannya di atas kertas

Minggu lepas, saya ada bertanya kepada anda, apakah yang anda mahu capai dalam masa 5, 10 atau 15 tahun akan datang? Sudahkah anda fikirkannya dengan betul?

Saya ulangi, matlamat adalah arah tujuan anda dalam hidup. Tanpa matlamat, anda akan hanya pergi ke sekolah kerana anda terpaksa. Anda pergi ke sekolah kerana tidak ada perkara lain yang hendak dilakukan. Namun, dengan matlamat, anda akan rasa bersemangat ke sekolah kerana anda sedar bahawa banyak perkara yang boleh anda pelajari untuk membantu anda mencapai matlamat anda.

Setelah anda fikirkan apa yang ingin anda capai, apa yang anda mahu dan apa yang hajat anda di masa hadapan, anda akan mempunyai peluang yang sangat besar untuk mencapainya jika anda menulis matlamat anda itu di atas kertas. Jika apa yang anda mahu capai hanya berada di dalam minda atau fikiran anda, anda akan lupa dan lama-kelamaan tidak bersemangat untuk mencapainya.

Menurut satu kajian 20 di University of Yale, setelah ditanya 1000 orang pelajar universiti tersebut, hanya ada 3% sahaja pelajar yang mempunyai matlamat yang mahu dicapai dan mereka menulisnya di atas kertas. Ini bermakna, daripada 1000 orang pelajar, hanya 30 orang pelajar sahaja yang meletakkan matlamat mereka di atas kertas.

Apakah kesannya meletakkan matlamat anda di atas kertas? Setelah 20 tahun, kajian itu menunjukkan bahawa 30 orang pelajar yang menulis matlamat mereka tadi jauh lebih berjaya jika dibandingkan dengan 970 yang tidak mempunyai matlamat dan tidak menulis matlamat mereka. Mereka berjaya jika dikira daripada segi kebahagiaan, kekayaan dan juga kesihatan. Jika anda diberi pilihan, anda mahu tergolong dalam kumpulan yang mana, kumpulan 30 orang pelajar yang menulis matlamat atau kumpulan 970 pelajar yang tidak mempunyai matlamat itu?

Kenapa agaknya kalau anda menulis apa yang anda inginkan di atas kertas anda akan lebih berpeluang mendapatnya? Begini, saya berikan satu contoh.

Beberapa tahun dulu, saya ternampak satu risalah iklan telefon bimbit jenama Nokia Butterfly. Saya sangat tertarik kepada telefon bimbit jenama tersebut. Saya terfikir, tentu ia model baru dipasaran sebab saya tidak pernah lihat sesiapa pun menggunakannya. Jadi saya bercadang membelinya.

Kemudian, apabila saya berjalan-jalan disekitar pejabat saya, saya terpandang seorang sahabat saya menggunakan model tersebut. Saya rasa pelik. Saya tidak pernah sedar pun selama ini sahabat saya itu menggunakan model tersebut. Apa yang lebih pelik, saya mula sedar lebih kurang 4 orang sahabat di pejabat saya yang memakai model yang sama.

Persoalannya, kenapa selama ini saya tidak sedar mereka memakai model Butterfly tersebut? Kenapa setelah saya bercadang membeli model tersebut baru saya sedar ramai yang sudah menggunakannya?

Sebenarnya, apabila kita mahukan sesuatu, ada satu bahagian di dalam otak kita yang dinamakan ‘Reticular Activating System (RAS)’ yang akan membuat kita sedar jika kita terlihat, terdengar atau terjumpa sesuatu yang kita mahukan itu. Contohnya, apabila saya mahu beli telefon bimbit tadi, RAS saya akan membuat saya peka dan sedar setiap kali saya melihat telefon bimbit model tersebut.

Kesan ini sama seperti jika anda menulis matlamat anda di atas kertas. Katakan anda tulis di atas kertas bahawa anda mahu mendapat A bagi subjek Bahasa Inggeris di dalam peperiksaan akhir tahun nanti. Selepas anda tulis, RAS anda akan tahu bahawa mendapat A bagi subjek Bahasa Inggeris adalah penting untuk anda. Jadi, minda anda akan sentiasa terbuka untuk melihat peluang bagaimana caranya anda boleh mencapai matlamat tersebut.

Mungkin anda akan tersedar bahawa sahabat baik anda sangat pandai dalam subjek Bahasa Inggeris. Jadi anda boleh mendekati beliau dan belajar daripada beliau. Mungkin anda sedar bahawa guru Bahasa Inggeris anda sangat suka memberi kelas tambahan kepada pelajar yang bersungguh-sungguh untuk berjaya. Jadi anda boleh dapatkan pertolongan guru tersebut.

Saya harap anda dapat memahami kepentingan menulis matlamat anda di atas kertas melalui apa yang saya bincangkan hari ini. Insyaallah minggu depan kita akan belajar teknik menulis matlamat di atas kertas dengan betul.

Artikel #3

Teknik menulis matlamat

Minggu lepas saya telah terangkan mengapa penting untuk anda menulis matlamat anda. Saya ulangi mesej penting minggu lepas iaitu, anda mempunyai peluang lebih besar untuk mencapai apa yang anda inginkan jika anda menulis matlamat anda.

Jadi, minggu ini, seperti yang saya janjikan, saya akan terang beberapa langkah dalam teknik menulis matlamat anda.

1. Tulis matlamat anda di suatu tempat yang anda boleh lihat selalu.

Satu masalah mengapa matlamat susah dicapai ialah anda mudah lupa apa yang anda hendak capai. Maksudnya, pada awal tahun, anda rasa semangat anda berkobar-kobar tetapi apabila masuk bulan Mac, April dan seterusnya, semangat anda tadi seolah-olah telah hilang. Ini kerana anda sudah lupa apa matlamat anda pada awal tahun tadi. Saya cadangkan anda menulis matlamat anda di satu kertas kecil dan simpan di dalam dompet atau beg duit anda.

2. Baca matlamat anda setiap hari.

Matlamat yang ditulis tetapi tidak dibaca sama seperti anda tidak menulis matlamat. Kesannya tidak kuat. Jadi anda perlu membaca matlamat anda setiap hari supaya anda sentiasa ingat apa yang anda ingin capai.

3. Tulis matlamat anda dalam bentuk positif.

Katakan anda lemah dalam matapelajaran Matematik dan selalu gagal dalam peperiksaan, anda perlu tulis matlamat anda begini, “Aku berjaya dapat A subjek Matematik dalam peperiksaan akhir tahun ini”. Ia berbentuk positif. Jangan tulis begini, “aku tidak mahu gagal dalam peperiksaan Matematik.”

Apabila anda selalu sebut gagal dalam matlamat anda, perkataan gagal akan memenuhi fikiran anda. Jadi, anda akan lebih hampir kepada kegagalan daripada kejayaan.

4. Tulis matlamat anda seperti matlamat itu sudah dicapai.

Contohnya, “Aku dapat 90 markah dalam subjek Matematik setiap kali peperiksaan.” Matlamat ini berbunyi seolah-olah anda memang selalu mendapat 90 markah setiap kali peperiksaan. Anda tidak perlu tulis “sayaakan mendapat 90 markah…”. Perkataan ‘akan’ itu menunjukkan ia belum berlaku. Apabila anda tulis seperti ia sudah berlaku, semangat dan keyakinan diri anda akan semakin bertambah dari hari ke hari.

5. Tulis matlamat yang mampu menaikkan semangat anda.

Kalau matlamat anda hanyalah untuk dapat gred C dalam semua subjek peperiksaan, adakah anda akan rasa bersemangat? Tidak bukan? Tulis matlamat di luar sedikit kemampuan anda sekarang supaya anda boleh berusaha dengan lebih kuat. Kalau anda biasa dapat gred D dalam subjek Matematik, pasang matlamat untuk capai gred B atau A. Ia lebih menyeronokkan jika anda berjaya mencapainya.

6. Usaha bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat anda.

Matlamat tanpa usaha umpama anda merenung ke arah makanan di depan mata anda tetapi tidak mahu berusaha memasukkannya ke dalam mulut anda. Bijakkah perbuatan sebegitu? Matlamat yang ditulis mesti diusahakan. Ia tidak semestinya akan dicapai dalam masa yang singkat tetapi jika anda terus berusaha, ia pasti akan tercapai.

7. Tabahkan hati.

Apabila anda menulis matlamat anda, anda mungkin akan rasa berdebar. Ini kerana, anda mungkin terfikir, “macam mana kalau aku tak dapat capai matlamat aku ni?” atau “sakit hati la nanti kalau dah tulis nak capai tapi tak tercapai…”

Anda perlu tahu, jika anda gagal mencapai matlamat anda, ia tidak bermaksud anda telah gagal dalam hidup anda. Gagal mencapai mencapai matlamat bermaksud anda perlu tuliskan matlamat lain, yang mungkin lebih baik untuk dicapai. Selalu, ada hikmah disebalik kegagalan mencapai matlamat. Katakan selama ini anda mendapat 8C dalam peperiksaan dan matlamat anda adalah untuk mendapat 8A. Namun anda hanya dapat 4A dan 4B. Walaupun matlamat anda tidak tercapai, bukankah 4A dan 4B jauh lebih baik daripada 8C? Ini yang perlu anda fikirkan. Jangan berputus-asa dalam mengejar matlamat anda.

Selamat menulis matlamat.

Artikel #4

Matlamat memastikan anda mampu bersaing

Dalam beberapa minggu ini, saya telah bercerita tentang kepentingan menetapkan matlamat. Anda telah pelajari betapa pentingnya untuk anda menulis matlamat anda di atas kertas yang anda boleh lihat selalu dan anda juga telah pelajari bagaimana caranya untuk menulis matlamat anda supaya ia mudah dicapai.

Hari ini, saya ingin kongsikan bersama anda tentang kebolehan anda untuk meningkatkan kemampuan anda untuk bersaing di masa hadapan. Sebelum saya mulakan, saya ada satu soalan untuk anda. Tahukah anda bahawa terdapat berpuluh-puluh ribu graduan di Malaysia yang masih menganggur? Graduan ini bukan pelajar-pelajar yang gagal di sekolah. Mereka berjaya dengan cemerlang di sekolah hingga berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti. Namun, mengapa mereka gagal mendapat pekerjaan?

Satu sebab utama graduan gagal mendapat pekerjaan ialah kerana bilangan graduan terlalu besar dan pekerjaan yang ada adalah terhad. Perkara ini agak sukar untuk diubah dalam masa terdekat ini. Namun, satu persoalan yang perlu anda fikirkan, katakan anda sudah tamat belajar nanti, mampukah anda bersaing dengan ribuan graduan atau pelajar lepasan kolej ini nanti?

Hari ini, apa kata anda fikirkan apakah pekerjaan anda setelah anda tamat belajar. Bayangkan anda baru sahaja tamat belajar di Universiti. Ketika itu, berpuluh-pulu ribu pelajar lain juga sudah tamat pengajian mereka. Mereka semua sudah mula mahu mencari pekerjaan. Jadi, anda perlu bersaing dengan mereka. Bayangkan ada 100 ribu graduan yang mencari kerja tetapi cuma ada 9000 sahaja kerja yang boleh ditawarkan. Mampukah anda bersaing?

Bayangkan lagi, anda menghadiri satu temuduga di sebuah syarikat international yang mahu mencari 10 orang eksekutif baru. Namun, ada hampir 1000 orang yang datang untuk menghadiri temuduga tersebut. mampukah anda bersaing?

Jika anda mahu menguasai soft skills yang penting bagi memudahkan anda mendapat pekerjaan mahupun memulakan perniagaan, langkah pertama ialah anda perlu melihat jauh ke hadapan. Lihat saat anda perlu bersaing dengan semua pelajar di seluruh Malaysia. bayangkan juga anda perlu bersaing dengan orang asing yang mudah mendapat pekerjaan di negara kita ini. Apabila anda bayangkan saat itu, anda akan nampak betapa hebatnya persediaan yang anda perlu lakukan.

Setelah anda fikirkan dan bayangkan situasi sewaktu anda perlu bersaing dengan ribuan pelajar lain, dapatkah anda bayangkan apa yang anda perlu sediakan supaya anda boleh jadi seorang pesaing terhebat? Anda mungkin terfikir yang anda mungkin perlu mendapat keputusan peperiksaan terbaik, rekod kegiatan ‘extra-curricular- terbaik, rekod kegiatan sukan, persatuan, kelab dan aktiviti-aktiviti anda mewakili sekolah dan sebagainya.

Jika itu yang anda fikirkan…. anda betul… namun bukan secara keseluruhannya…. Apabila anda mencari pekerjaan, memang benar bakal majikan anda akan melihat rekod-rekod sewaktu anda belajar. Mereka akan cari bakal pekerja yang mempunyai rekod terbaik. Jadi, jika anda tidak mempunyai rekod yang baik, mampukah anda bersaing?

Jika anda sedar yang anda memerlukan rekod yang baik, apakah yang perlu anda lakukan sekarang? Ya, anda boleh mula tumpukan perhatian anda kepada pelajaran anda. Jika dulu anda rasa tidak bersemangat untuk belajar, anda kini sedar bahawa pelajaran anda itu adalah penting. Jadi anda akan lebih fokus kerana anda kini mempunyai arah untuk dituju.

Hari ini, cuba kaji rekod anda. Adakah anda mempunyai rekod yang baik? adakah anda selalu mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang? Adakah anda aktif dalam aktiviti sekolah yang dapat membuktikan kebolehan anda untuk bekerja disamping orang lain? Jika rekod anda tidak begitu memuaskan, anda tidak perlu rasa terlalu risau. Masih ada masa untuk anda memperbaikinya. Jangan sekali-kali berputus-asa kerana anda tidak akan menjadi pesaing terhebat jika anda mudah berputus-asa.

Melalui rekod-rekod anda, kaji di mana sebenarnya kekuatan dan kelebihan anda? Jika kekuatan anda ini akan jadi satu aset yang berguna kepada anda suatu hari nanti, anda patut mula mengasahnya sekarang.

Artikel #5

Mencapai matlamat akademik

Minggu lepas saya ada ceritakan tentang kepentingan menetapkan matlamat untuk meningkatkan kebolehan anda bersaing selepas tamat belajar nanti. Saya ada terangkan bahawa rekod anda terutamanya rekod akademik anda amat penting untuk membuat anda kelihatan lebih menonjol dan menyerlah suatu hari nanti. Jadi hari ini, mari kita fikirkan apakah matlamat akademik anda.

Jika tahun ini anda akan mengambil peperiksaan UPSR, PMR, SPM atau STPM, apakah yang anda mahu lihat dalam kertas keputusan peperiksaan anda nanti? Jika anda mahu lihat matlamat ini dengan lebih jelas, pinjam sijil peperiksaan UPSR, PMR, SPM atau STPM daripada rakan-rakan atau saudara-mara anda yang pernah mengambil peperiksaan tersebut. Letakkan sijil tersebut di depan anda.

Sekarang, bayangkan nama anda yang tertulis di atas sijil itu. Apakah keputusan peperiksaan atau gred yang anda mahu lihat pada subjek-subjek matapelajaran di atas sijil itu? Pejam mata anda, bayangkan di dalam minda anda sejelas-jelasnya, apakah gred yang anda benar-benar mahukan bagi setiap subjek yang tertulis di atas sijil tersebut?

Jika anda dapat membayangkan dengan jelas apa yang anda mahu capai, anda akan mampu mencapainya dengan lebih mudah. Sudahkah anda bayangkan gred yang anda mahu dapat?

Saya percaya kebanyakan daripada anda tentu mahu mendapat gred ‘A’ dalam subjek-subjek di atas sijil tadi. Gred A nampak hebat dan boleh membuat anda dan saudara-mara anda merasa bangga bukan? Benar, jika ia menjadi kenyataan, anda pasti merasa bangga dan bersyukur sepanjang hidup anda. Persoalannya, pakah yang perlu anda lakukan?

Hari ini, saya mahu anda ambil langkah pertama. Saya mahu anda isikan ruangan kosong di dalam lembaran matlamat yang saya sediakan di bawah.

Subjek

Gred sekarang

Matlamat

 

Subjek

Gred

sekarang

Matlamat

 

Gred

Markah

 

 

Gred

Markah

B.Melayu         Fizik
B.Inggeris         Biologi
Sains         Kimia
Matematik         Add Maths
Sejarah         P. Akaun
P. Islam         Ekonomi
P. Seni         Geografi
           
           
           

Ruangan subjek menunjukkan subjek-subjek yang anda ambil di sekolah. Jika subjek anda tidak disenaraikan di atas, tulis subjek tersebut diruangan kosong yang disediakan.

Di dalam lembaran di atas, ada tiga bahagian utama yang perlu ada isi.

1. Gred sekarang

Gred sekarang bermaksud gred yang anda perolehi pada peperiksaan yang lepas. Jika dalam tahun 2007 ini anda belum mengambil apa-apa peperiksaan, tuliskan gred peperiksaan pada akhir tahun lepas. Jika anda sudah lupa, rujuk pada guru anda di sekolah. Gred sekarang adalah amat penting bagi menyiapkan lembaran matlamat ini.

2. Matlamat: Gred

Di ruangan ini, tulis gred yang anda mahu dapat. Jika anda mahu dapat ‘B’ tuliskan ‘B’ dan jika anda mahu dapat ‘A’, tuliskan ‘A’ di situ.

3. Matlamat: Markah

Di ruangan ini, tulis dengan tepat berapa markah yang ingin anda dapat. Jika anda mahu dapat ‘A’, anda mungkin boleh memperolehinya dengan mendapat 80 markah sahaja. Namun, mungkin anda mahu dapat markah lebih tinggi seperti 90 atau 95 markah. Jika anda tahu berapa markah yang anda mahu dapat, anda boleh berusaha dengan lebih berkesan nanti.

Isikan gred danmarkah untuk semua subjek yang anda ambil di sekolah. Insyaallah minggu depan kita akan sambung mengenai lembaran matlamat ini.

Artikel #6

Mencapai matlamat akademik

Minggu lepas saya ada kongsikan bersama anda tentang cara menulis matlamat dalam bidang akademik.Saya telah berikan satu lembaran matlamat untuk anda isikan gred dan markah yang anda ingin capai dalam peperiksaan anda yang akan datang. Sudahkah anda tuliskan gred dan markah yang anda ingin capai dalam peperiksaan anda yang akan datang?

Jika anda sudah menulisnya, bagus. Anda sudah tergolong dalam 3% pelajar yang mempunyai matlamat dalam hidup anda. Jika anda belum menulisnya, anda boleh lakukannya sekarang.

Setelah anda menulis matlamat tersebut, anda 4 soalan yang saya ingin anda jawab. Soalan-soalan ini adalah umpama pemangkin yang akan menyemarakkan semangat anda untuk mencapai matlamat anda nanti. Tidak ada jawapan yang betul atau salah dalam 4 soalan ini. Anda cuma perlu berfikir sejenak dan jawab 4 soalan ini dengan hati yang ikhlas dan terbuka.

Soalan pertama – Mengapa anda mahu capai matlamat tersebut?

Setelah anda tulis matlamat anda, anda perlu tahu mengapa anda mahu mencapainya. Jika anda mahu mendapat 8A dalam peperiksaan akan datang, mengapa? Adakah ia kerana anda mahu menggembirakan ibu bapa anda? Adakah ia kerana anda mahu merasa yakin dengan keupayaan diri anda sendiri? Atau, adakah ia kerana anda dipaksa untuk mendapat keputusan sebegitu?

Anda perlu ingat, jika anda mahu mencapai sesuatu, ia sepatutnya datang daripada kehendak anda sendiri, bukan kehendak orang lain. Anda perlu fikir betul-betul mengapa anda mahu capai matlamat tersebut supaya anda kekal bersemangat untuk mencapainya. Tuliskan semua sebab mengapa anda benar-benar mahu mencapai matlamat tersebut.

Setelah anda senaraikan sebab-sebab mengapa anda mahu mencapai matlamat anda, cari 2 atau 3 sebab utama yang paling penting buat anda. 2 atau 3 sebab utama ini sebenarnya akan menjadi penyebab utama kejayaan anda. Setiap kali anda rasa hilang semangat, malas atau mahu berputus-asa, lihat semula pada 2 atau 3 sebab ini. Jika ia benar-benar sebab yang sangat penting, semangat anda akan naik semula. Anda tidak akan rasa lemah semangat atau malas lagi.

Contoh saya sendiri, satu sebab mengapa saya mahu berjaya dulu ialah saya mahu membuktikan kebolehan sebenar saya. Semasa saya berada dalam darjah 6, nama saya tidak termasuk dalam senarai pelajar yang dijangka akan mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR. Saya rasa agak sedih tetapi dalam masa yang sama, ia menjadi sebab utama mengapa saya mahu terus berusaha.

Saya percaya saya ada kebolehan yang tinggi dalam bidang akademik walaupun keputusan peperiksaan yang lepas tidaklah begitu memuaskan. Jadi saya terus berusaha dengan harapan setelah saya capai matlamat saya, orang-orang di sekeliling saya akan menyedari kebolehan sebenar saya.

Apabila saya tahu mengapa saya mahu mencapai matlamat saya, saya kurang rasa malas semasa belajar. Malah saya rasa lebih seronok duduk belajar daripada keluar bermain. Saya masih ingat lagi kadang-kadang ayah dan ibu saya memaksa saya keluar rumah untuk pergi bermain kerana mereka bimbang melihat saya asyik menghadap buku apabila peperiksaan semakin hampir. Mesej saya kepada anda bukanlah untuk anda duduk belajar hingga lupakan perkara lain dalam hidup anda.

Tetapi, mesejnya ialah, jika anda tahu mengapa anda mahu mencapai matlamat anda, anda tidak perlu disuruh atau dipaksa untuk belajar kerana anda akan belajar dengan sendiri. Anda pasti belajar dengan lebih bersungguh-sungguh jika ia datang daripada hati anda sendiri dan bukan kerana dipaksa.

Hasilnya, Alhamdulillah, saya dapat capai matlamat saya dalam peperiksaan UPSR tadi. Pencapaian itu membuat saya rasa sangat bersyukur. Lebih hebat lagi, pencapaian itu membuat saya semakin yakin dengan kebolehan diri saya sendiri. Bagaimana dengan anda, adakah anda tahu mengapa anda mahu mencapai matlamat anda?

Artikel #7

Mencapai matlamat akademik

Minggu lepas saya ada kongsikan bersama anda tentang cara menulis matlamat dalam bidang akademik. Saya telah berikan satu lembaran matlamat untuk anda isikan gred dan markah yang anda ingin capai dalam peperiksaan anda yang akan datang. Saya juga telah berikan soalan pertama yang perlu anda jawab iaitu mengapa anda mahu mencapai matlamat tersebut? Sudahkah anda tahu mengapa anda mahu mencapai matlamat akademik anda?

Setelah anda tahu mengapa anda mahu mencapai matlamat anda, anda pasti rasa bersemangat bukan? Namun, semangat ini mungkin akan turun semula jika anda menghadapi sebarang masalah yang mungkin menghalang anda untuk mencapainya. Jadi, anda perlu menjawab soalan kedua ini.

Soalan kedua – Apakah yang menghalang anda daripada mencapai matlamat tersebut?

Matlamat anda boleh dicapai dengan mudah jika tidak ada halangan langsung. Namun, di dalam dunia sebenar, pasti ada halangan dalam setiap perkara yang ingin kita capai. Anda tidak perlu risau sebenarnya. Semakin besar halangan anda anda hadapi, semakin berharga matlamat yang anda ingin capai itu.

Maksudnya begini. Katakan matlamat anda ialah mahu mendapat gred A dalam subjek Bahasa Inggeris. Tetapi, anda sangat lemah dalam subjek tersebut dan selalu mendapat gred D setiap kali peperiksaan. Di sekolah, anda tidak faham apa yang guru Bahasa Inggeris anda ajarkan. Di rumah anda pula tidak ada sesiapa yang boleh mengajar anda subjek ini. Kawan-kawan rapat anda juga semuanya lemah dalam subjek Bahasa Inggeris ini. Jadi, anda mungkin rasa agak mustahil untuk mendapat gred A bagi subjek ini.

Inilah antara halangan yang saya maksudkan. Matlamat anda boleh terhalang oleh masalah-masalah begini. Untuk mencapai matlamat anda, anda perlu tahu semua masalah atau perkara yang boleh menghalang anda daripada mencapai matlamat anda. Jadi, hari ini, lihat semula gred yang anda mahu dapat dalam peperiksaan akan datang. Apabila anda melihat gred yang anda mah dapat itu, fikirkan, apakah masalah yang anda mungkin hadapi untuk mencapainya? Senaraikan semua masalah tersebut.

Setelah anda senaraikan semua masalah tersebut, anda perlu ingat, tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Anda perlu rasa yakin bahawa anda pasti dapat menyelesaikan masalah-masalah tersebut.

Satu perkara yang yang bagus untuk anda lakukan setelah mempunyai matlamat dan mempunyai senarai masalah yang anda hadapi ialah berjumpa dengan kaunselor sekolah anda. Seorang kaunselor boleh menasihatkan anda tentang cara untuk mengatasi masalah yang anda hadapi itu. Seorang kaunselor juga selalunya boleh memberi semangat kepada anda untuk berjaya. Jadi, jumpa kaunselor sekolah anda. Luangkan masa anda untuk membuat temu janji dengan beliau.

Jika anda rasa tidak selesa untuk berjumpa dengan kaunselor sekolah, anda boleh jumpa mana-mana guru yang rapat dengan anda. Guru juga selalunya mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam menyelesaikan masalah yang anda hadapi. Terangkan tentang matlamat yang anda ingin capai kepada beliau dan beritahu beliau apa masalah yang anda hadapi yang mungkin menghalang anda daripada mencapai matlamat tersebut.

Satu lagi cara lain untuk anda selesaikan masalah anda itu ialah dengan berkawan dengan pelajar yang cemerlang dalam subjek tertentu. Jika anda mahu dapat gred A dalam Bahasa Inggeris, mula berkawan rapat dengan pelajar yang pandai dan selalu mendapat gred A dalam Bahasa Inggeris. Lihat bagaimana cara pelajar ini belajar dan mengulangkaji subjek tersebut. Anda jga boleh meminta nasihat beliau tentang petua dan tips untuk memajukan gred subjek Bahasa Inggeris anda.

Akhir sekali, anda perlu ingat, tujuan anda menyenaraikan masalah ini bukanlah untuk anda merasa gelisah tetapi untuk anda mengetahui apa yang patut anda lakukan seterusnya dalam usaha mencapai matlamat akademik anda itu.

Artikel #8

Mencapai matlamat akademik

Beberapa minggu lepas saya ada kongsikan bersama anda tentang cara menulis matlamat dalam bidang akademik. Saya telah berikan satu lembaran matlamat untuk anda isikan gred dan markah yang anda ingin capai dalam peperiksaan anda yang akan datang. Saya juga telah berikan soalan pertama dan kedua yang perlu anda jawab iaitu mengapa anda mahu mencapai matlamat tersebut. Sudahkah anda tahu mengapa anda mahu mencapai matlamat akademik anda?

Setelah anda tahu mengapa anda mahu mencapai matlamat anda dan setelah anda tahu apa yang menghalang anda, anda perlu tahu apa langkah pertama yang perlu anda ambil untuk mencapai matlamat anda. Jadi, anda perlu menjawab soalan ketiga ini.

Soalan ketiga – Apakah yang perlu anda ubah?

Apabila anda sudah tahu apa yang anda ingin capai dan tahu apakah halangan-halangan yang wujud di depan anda, anda perlu bersedia untuk berubah. Contohnya, katakan anda sedang berjalan ke sekolah melalui satu lorong kecil. Tiba-tiba anda lihat ada sebatang pokok yang tumbang dan melintang di tengah jalan anda. Anda tidak boleh melepasi pokok tersebut kerana jalan itu sangat kecil dan pokok itu agak besar dan penuh dengan ranting-ranting kecil.

Jika matlamat anda adalah untuk sampai juga ke sekolah, anda perlu bersedia mengubah cara anda untuk pergi ke sekolah. Pertama, anda mungkin perlu bersedia untuk mengubah laluan anda. Anda mungkin perlu tukar arah anda dan menggunakan jalan lain ke sekolah.

Kedua, jika anda masih mahu menggunakan jalan yang kecil itu juga, anda perlu bersedia untuk mengubah kedudukan pokok yang tumbang itu. Mungkin pokok itu terlalu berat untuk anda alihkan tetapi anda mungkin boleh mematahkan beberapa ranting yang kemudian boleh memberi laluan kepada anda.

Jika anda bersedia untuk berubah dalam usaha anda mencapai matlamat yang anda idam-idamkan, anda pasti dapat mencapainya.

Berbalik semula kepada cerita anda mahu mencapai matlamat akademik anda tadi, untuk mendapat gred A dalam matapelajaran Bahasa Inggeris mungkin terasa agak sukar bagi anda. Ini kerana, selama ini anda mungkin selalu gagal dalam peperiksaan dan anda tidak dapat ingat banyak perbendaharaan kata Bahasa Inggeris.

Langkah pertama anda harus ambil ialah mengkaji semula mengapa anda lemah dalam matapelajaran ini? Adakah ia kerana anda jarang menghafal perkataan-perkataan dalam Bahasa Inggeris? Adakah ia kerana anda malas mahu membuat kerja sekolah Bahasa Inggeris? Adakah ia kerana anda tidak suka kepada guru Bahasa Inggeris anda?

Setelah anda tahu mengapa anda lemah dalam subjek tersebut, anda perlu bersedia untuk berubah. Anda perlu ubah mana-mana sikap atau perangai anda yang menyebabkan anda lemah dan gagal mendapat keputusan yang baik dalam subjek tersebut.

Jika anda lemah kerana malas menghafal, mulai hari ini, perlahan-lahan cuba untuk menghafal perkataan-perkataan Bahasa Inggeris. Anda tidak perlu terus cuba menghafal satu kamus Bahasa Inggeris. J Anda boleh mulakan dengan menghafal 5 perkataan dalam Bahasa Inggeris setiap hari. Jika anda hafal 5 perkataan Bahasa Inggeris sehari, anda akan dapat hafal 150 perkataan sebulan dan 1,825 perkataan setahun!

Bayangkan, jika anda tahu 1,825 perkataan Bahasa Inggeris, anda sudah boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan lancar. Ini bermakna, jika anda ubah sikap anda dengan cuma menghafal cuma 5 perkataan Bahasa Inggeris sehari, anda akan jadi cekap dan hebat dalam subjek ini cuma dalam jangka masa setahun. Tidakkah anda mahu ini berlaku di dalam hidup anda?

Mulakan usaha anda hari ini. Anda perlu ingat, kesusahan yang perlu anda lalui cuma bersifat sementara sahaja. Apabila anda sudah mencapai matlamat anda, anda akan lupa semua kesusahan yang anda lalui semasa belajar. Malah, anda akan rasa bersyukur kerana anda telah sanggup melalui kesusahan itu semua. Ini adalah kerana, kesusahan sementara itu membawa kesenangan kepada anda seumur hidup anda.

Artikel #9

Mencapai matlamat akademik

Beberapa minggu lepas saya ada kongsikan bersama anda tentang cara menulis matlamat dalam bidang akademik. Saya telah berikan satu lembaran matlamat untuk anda isikan gred dan markah yang anda ingin capai dalam peperiksaan anda yang akan datang. Saya juga telah berikan soalan pertama, kedua dan ketiga yang perlu anda jawab. Saya ulang kembali soalan-soalan tersebut supaya anda ingat. 3 soalan itu adalah seperti berikut:

  1. Mengapa anda mahu mencapai matlamat tersebut?
  2. Apa yang menghalang anda daripada mencapai matlamat tersebut?
  3. Apa yang perlu anda ubah?

Setelah anda jawab ketiga-tiga soalan tersebut, anda akan rasa lebih jelas bagaimana anda boleh berusaha dengan berkesan bagi mencapai matlamat anda. Hari ini, kita sambung dengan soalan terakhir iaitu soalan yang keempat.

Soalan keempat – Apakah nilai-nilai murni yang anda perlu ada?

Anda tentu pernah belajar tentang nilai-nilai murni di sekolah. Contoh-contoh bagi nilai murni ialah sifat amanah, bertanggungjawab, jujur, bercakap benar, hormat-menghormati dan sebagainya. Sifat-sifat ialah sifat mulia yang anda perlu anda dalam membimbing anda menuju ke arah kejayaan.

Katakan anda tidak mempunyai sifat-sifat yang baik begini. Apa agaknya yang mungkin berlaku?

Minggu lepas saya berada di Terengganu kerana menjalankan dua program SmartStudy Learning Skills bersama Sekolah Kebangsaan Kubang Ikan dan juga Sekolah Kebangsaan Durian Burung. Di dalam program tersebut, saya berikan contoh kemungkinan apa yang akan berlaku jika pelajar tidak mempunyai nilai-nilai murni yang membimbing hidup mereka. Ini contoh yang saya berikan.

Katakan ada seorang pelajar yang sangat cemerlang. Semasa peperiksaan UPSR, beliau berjaya mendapat keputusan 5A. Beliau merasa bangga dengan pencapaian tersebut dan beliau diterima masuk ke asrama penuh. Semasa di tingkatan 3, pelajar ini berjaya mendapat 8A dalam peperiksaan PMR. Beliau rasa semakin bangga dan yakin dengan kebijaksanaan diri beliau.

Di tingkatan lima pula, beliau belajar dengan bersungguh-sungguh hingga berjaya mendapat 10A dalam peperiksaan SPM. Tidak dapat digambarkan betapa gembiranya pelajar ini dan betapa bangganya dengan kebolehan diri beliau.

Beliau berjaya memasuki universiti untuk melanjutkan pelajaran. Di universiti, beliau terus berusaha dengan kuat dan belajar dengan bersungguh-sungguh. Akhirnya, beliau berjaya mendapat keputusan ‘First Class Honours’ di akhir pengajian beliau dalam ijazah sarjana muda. Semakin gembira pelajar ini dengan hasil kerja keras beliau.

Kemudian, pelajar ini menyambung pelajaran dalam bidang Sarjana pula. Beliau bertungkus-lumus sekali lagi dan berjaya mendapat keputusan ‘First Class Honours’ dalam pengajian Sarjana ini. Nyata sudah terbukti bahawa pelajar ini mempunyai bakat dan kebijaksanaan dalam bidang pelajaran.

Kemudian beliau buat keputusan untuk menyambung pelajaran lagi dalam bidang ijazah kedoktoran. Beliau teruskan usaha sama seperti usaha beliau tadi dan berjaya sekali lagi mendapat keputusan yang terbaik dalam pengajian ijazah kedoktoran ini. Kini beliau boleh dipanggil sebagai seorang ‘Doktor’ dalam bidang pengajian beliau.

Kini beliau mahu bekerja. Beliau dengan mudah mendapat pekerjaan yang beliau mahukan. Soalan saya kepada anda, apakah agaknya pekerjaan yang pelajar ini lakukan? Mungkin anda meneka beliau bekerja sebagai doktor, sebagai peguam, sebagai pensyarah, sebagai arkitek, sebagai akauntan dan sebagainya bukan. Malangnya, pelajar ini jadi seorang PENCURI!

Tentu anda rasa tidak munasabah seorang yang berpendidikan tinggi begitu boleh jadi seorang pencuri. Anda perlu tahu, pencuri bukan hanya orang yang memecah masuk ke rumah orang lain dan mengambil barang-barang mereka. Jika anda ambil pensel kawan-kawan anda tanpa pengetahuan dan kebenaran mereka juga sudah boleh dikira sebagai mencuri.

Tentu anda pernah mendengar kisah-kisah orang korporat yang berpendidikan tinggi tetapi mencuri dan menggelapkan wang syarikat hingga berjuta-juta ringgit bukan? Ini adalah kesan utama jika anda tidak mempunyai nilai-nilai murni dalam membimbing hidup anda sebagai seorang pelajar.

Jadi, hari ini, senaraikan semua nilai-nilai murni yang anda perlu amalkan agar perjalanan hidup anda akan lebih diberkati dan kejayaan anda akan lebih bermakna.

Artikel #10

Mencapai matlamat akademik – Kesimpulan

Sudah lebih kurang 5 minggu saya bincangkan tentang langkah pertama dalam mencapai matlamat akademik anda. Hari ini, saya tunjukkan sekali lagi apa yang telah kita pelajari dalam 5 minggu yang lepas.

Untuk mencapai matlamat anda, anda perlu tahu apa yang ingin anda capai. Jika anda tidak tahu gred apa yang anda ingin perolehi, anda juga tidak akan pasti gred apa yang bakal anda perolehi. Pelajar cemerlang selalunya sudah fikir dengan jelas apa yang mereka mahu perolehi dalam peperiksaan yang akan datang. Jadi, hari ini, mari lengkapkan lembaran matlamat ini dari awal hingga akhir.

Lembaran Matlamat

Subjek

Gred sekarang

Matlamat

 

Subjek

Gred

sekarang

Matlamat

 

Gred

Markah

 

 

Gred

Markah

B.Melayu         Fizik
B.Inggeris         Biologi
Sains         Kimia
Matematik         Add Maths
Sejarah         P. Akaun
P. Islam         Ekonomi
P. Seni         Geografi
           
           
           

Isikan gred sekarang dan gred yang anda ingin capai dalam peperiksaan sebenar nanti. Di dalam peperiksaan sebenar nanti, tulis juga berapa markah yang anda ingin perolehi. Contohnya, jika anda mahu dapat A, adakah ia kerana anda mendapat 85 markah atau 95 markah. Berfikir tentang markah yang anda ingin capai lebih membuatkan matlamat anda itu jelas. Tuliskan subjek yang anda ambil di ruang yang kosong jika ia belum lagi ditulis di lembaran matlamat itu.

Kemudian, jawab 4 soalan di bawah ini. Soalan-soalan ini adalah amat penting dalam memastikan bahawa anda sentiasa bersemangat dalam usaha mengejar matlamat anda. Jawab dengan seikhlas hati kerana tidak ada sesiapa yang akan melihat apa yang bakal anda tuliskan ini. Matlamat ini adalah untuk rujukan diri anda sendiri.

  1. Mengapa anda mahu mencapai matlamat tersebut?
  2. Apa yang menghalang anda daripada mencapai matlamat tersebut?
  3. Apa yang perlu anda ubah?
  4. Apakah nilai-nilai murni yang saya perlukan?

Kejayaan bermula dengan anda.

Adik-adik dan sahabat-sahabat yang saya hormati dan kasihi sekalian. Untuk berjaya, kita perlu tahu bahawa kejayaan hanya boleh dicapai jika kita sendiri yang mahu mencapainya. Jika selama ini hanya ibu bapa, kawan-kawan, saudara-mara atau guru yang mahukan kita berjaya, pasti kita kurang bersemangat untuk berjaya.

Saya biasa melihat pelajar yang langsung tidak bersemangat untuk berusaha dan belajar. Sebab utama mengapa pelajar jadi tidak bersemangat dan malas ialah mereka tidak ada matlamat. Mereka tidak tahu apa yang mereka mahu perolehi di masa depan dan mereka juga tidak pernah fikir apa akan jadi jika mereka gagal mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan. Bayangkan, jika anda gagal dalam peperiksaan dan jika anda gagal melanjutkan pelajaran, apakah yang anda mahu lakukan selepas itu?

Satu nasihat saya kepada anda ialah, kejayaan bermula daripada anda sendiri, bukan daripada orang lain. Ini bermaksud, jika anda gagal, tidak ada orang lain yang boleh dipersalahkan melainkan anda sendiri. Jadi, apa kata kalau anda mula fikirkan tentang kejayaan dan kegembiraan yang anda ingin capai di masa hadapan. Apa kata kalau hari ini, anda lengkapkan lembaran matlamat ini dan naikkan semangat diri anda sendiri untuk mencapai kejayaan. Selamat berjaya!

Comments are closed.